02 November 2012

GANDINGAN TERBAIK DUNIA (BAHAGIAN 1)


Dalam permainan bolasepak, sudah banyak kita saksikan gandingan atau kombinasi pemain yang bermain dalam sesebuah pasukan berjaya memikat perhatian penyokong dan juga menghadirkan rasa gentar kepada lawan setiap kali mereka turun beraksi. Dunia sudah banyak menyaksikan sejumlah gandingan/kombinasi maut ini beraksi di atas padang, sama ada mereka beraksi di posisi pertahanan, tengah atau pun serangan pasukan masing-masing. Berikut adalah sepuluh gandingan terbaik yang pernah dilahirkan dan kita saksikan aksi mereka di atas padang sama ada di peringkat kelab mahupun negara. Tentunya Manchester United juga tidak terkecuali di mana gandingan Ryan Giggs dan David Beckham turut tersenarai dari sepuluh yang disenaraikan untuk bahagian 1 kali ini:

1. Diego Milito & Samuel Eto'o

Gandingan yang memainkan peranan besar di sebalik kejayaan Inter Milan meraih treble pada musim 2009/10 (Serie A, Coppa Italia & Liga Juara-Juara). Mesin gol ini berjaya membantu Inter muncul kelab keenam Eropah dan yang pertama di Itali meraih kejuaraan treble dalam semusim. Eto’o yang menyertai Inter dari Barcelona hadir dengan reputasi hebat sebagai pemenang pingat kejuaraan Liga Juara-Juara menjaringkan 16 gol dalam semua kejohanan musim tersebut manakala Milito pula menjaringkan 30 gol dengan dua darinya dihasilkan ketika menewaskan Bayern Munich diperlawanan akhir Liga Juara-Juara (di Santiago Bernabeu).

2. Rudi Voeller & Juergen Klinsmann

Jerman Barat menjuarai Piala Dunia 1990 dengan barisan skuad yang dianggap terkuat ketika ini. Mereka lengkap di semua bahagian namun kejayaan mereka sebenarnya hadir dari tiga pemain yang menyumbangkan gol-gol untuk mereka. Yang pertama ialah dari pemain tengah, Lothar Matthaus manakala dua lagi pemain tentunya pemusnah pertahanan lawan yang bermain di barisan serangan, iaitu gandingan Voeller dan Klinsmann. Voeller dan Klinsmann adalah mimpi buruk buat mana-mana pemain pertahanan lawan selepas gandingan ini menjaringkan enam gol di kejohanan tersebut (Piala Dunia 90). Jerman muncul juara kumpulan D dan mereka juga memiliki perbezaan gol yang besar berbanding pesaing lain.

3. Raul Gonzalez & Fernando Morientes

Bersama Raul, Morients membentuk salah satu gandingan pemusnah paling digeruni dalam sejarah Real Madrid. Tujuh tahun di Bernabeu dengan Raul sebagai pasangannya, Morientes membantu Real memenangi dua kejuaraan La Liga, tiga kejuaraan Supercopa de Espana, tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan satu kejuaraan Piala Super Eropah. Pasangan ini terpisah selepas Morientes meninggalkan Real dan menyertai kelab England, Liverpool pada 2005 manakala Raul pula kekal di Bernabeu dan masih menjadi sandaran utama gergasi Sepanyol itu sehinggalah dia  akhirnya berhijrah ke Jeman pada tahun 2010. 

4. Hernan Crespo & Enrico Chiesa

Diiktiraf antara gandingan paling tajam di Serie A pada era 90 an. Kombinasi Crespo dan Chiesa yang bermain untuk Parma menghasilkan puluhan gol setiap musim dengan purata 1.5 jaringan setiap perlawanan. Crespo dan Chiesa membantu Parma menjulang Coppa Italia musim 1998/99 serta Supercoppa Italiana 1999. Dalam perlawanan akhir Piala UEFA 1999 (sekarang Liga Europa) di Stadium Luzhniki, Moscow, dua penyerang ini masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu La Gialloblu keluar sebagai juara dengan menewaskan Olympique Marseille 3-0. Gandingan itu juga berjaya membantu Parma memecah dominasi kelab-kelab gergasi Itali yang lain seperti AC Milan, Inter dan Juventus ketika itu.

5. David Beckham & Ryan Giggs

Selama lapan tahun (1995-2003), Manchester United memiliki salah satu gandingan pemain sayap terbaik di dunia. Beckham dan Giggs memiliki karakter berbeza sama ada dari segi corak permainan mahupun kehidupan di luar padang. Beckham memang dilahirkan dari Akademi Manchester United manakala Giggs pula dizaman remajanya hampir menyertai Akademi Manchester City sebelum Sir Alex Ferguson melakukan kunjungan ke rumah pemain itu bagi memujuk keluarga Giggs supaya membenarkan anak mereka menyertai United. Di penghujung era 90 an, United juga memiliki gandingan hebat di bahagian serangan dengan penyertaan Dwight Yorke dari Aston Villa dan Andy Cole dari Newcastle United. Walau bagaimanapun ramai yang percaya, tanpa hantaran-hantaran lintang tepat dari Beckham dan Giggs, tidak mungkin Yorke dan Cole mampu menghasilkan jaringan-jaringan yang banyak untuk United. Hasil hantaran-hantaran lintang tanpa batas dari Beckham dan Giggs membolehkan Yorke serta Cole bermaharajalela di depan gawang lawan. Malah ada yang mengatakan Yorke dan Cole hanya perlu menghulurkan kepala atau kaki mereka untuk menjaringkan gol setiap kali Beckham atau Giggs melakukan hantaran lintang.

6. Chris Sutton & Alan Shearer

Bagi pengikut-pengikut Liga Perdana England dari era awal 90 an, mana mungkin mereka boleh melupakan gandingan `SAS’ (Sutton & Shearer) ini. Sutton dan Shearer gandingan paling digeruni sehingga berjaya membawa Blackburn Rover menang kejuaraan liga (musim 1994/95) buat pertama kali dalam tempoh 81 tahun. Menerusi gol-gol yang dihasilkan gandingan `SAS’ ini, Blackburn Rovers berjaya menyingkirkan Manchester United dan Aston Villa yang menjadi saingan utama mereka ketika itu dalam perebutan kejuaraan liga. Beberapa tahun selepas itu, Shearer bergandingan dengan Teddy Sheringham untuk skuad kebangsaan England dan ramai yang melabelkan gandingan itu sebagai `SAS’ versi kedua. Walau bagaimanapun gandingan Shearer dan Sheringham tidak mampu menandingi `SAS’ versi asal.

7. Roberto Carlos & Cafu

Carlos dan Cafu adalah antara gandingan pertahanan kiri dan kanan terbaik pernah disaksikan dunia. Dua lagenda Brazil ini memiliki rekod cemerlang baik ketika bersama skuad kebangsaan mahupun ketika mewakili kelab masing-masing. Gandingan Carlos dan Cafu menguasai bahagian sayap dalam setiap perlawanan ketika pusingan akhir Piala Dunia 2002. Gandingan hebat di benteng pertahanan ini menjadi nadi kekuatan Brazil ketika melancarkan serangan dengan overlapping menarik mereka. Skuad Samba yang dikecewakan Perancis pada edisi sebelumnya akhirnya muncul juara (Piala Dunia 2002) selepas menewaskan Jerman di perlawanan akhir.

8. Ruud Gullit & Marco Van Basten

`Dynamic Duo’ dari Belanda ini meraih berbagai kejuaraan sepanjang karier mereka, baik di peringkat kelab mahupun untuk skuad kebangsaan. Bersama AC Milan, Gullit dan Van Basten adalah ancaman paling ditakuti lawan bersama-sama seorang lagi lagenda Belanda, Frank Riijkaard. AC Milan menguasai saingan domestik dan juga pentas Eropah di penghujung 80 an menerusi gandingan ini disamping nama-nama besar dari Itali seperti Franco Baresi, Roberto Donadoni, Carlo Ancelotti dan Paolo Maldini. Gullit dan Van Basten membantu Rossoneri menjuarai Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) dua musim berturut-turut, 1989 dan 1990 dengan menewaskan Steua Bucharest dan Benfica di perlawanan akhir. Bersama skuad kebangsaan, gandingan Gullit dan Van Basten menang kejuaraan Eropah pada 1988. Di kejohanan itu, Gullit hanya menyumbang satu gol, tetapi Van Basten menghasilkan lima gol termasuklah jaringan cantik di perlawanan akhir ketika menewaskan Soviet Union.

9. Ronaldinho & Samuel Eto’o

Ronaldinho dan Eto’o adalah dua pemain dengan gaya permainan berbeza. Ronaldinho pemain yang penuh dengan skill ketika mengawal bola, sesuatu yang cukup sinonim dengan pemain-pemain dari Brazil. Bagi Eto’o pula, dia bergantung kepada kepantasan dan kekuatan ketika memburu jaringan dan bersama Barcelona, mereka adalah gandingan yang cukup menakutkan. Dua kejuaraan La Liga dan Supercopa de Espana serta satu kejuaraan Liga Juara-Juara yang dimenangi Barca dari 2004 hingga 2006 hasil dari peranan yang dimainkan kedua-dua pemain ini.

10. Allesandro Nesta & Fabio Cannavaro

Skuad kebangsaan Itali biasanya dibina dengan bertujangkan kepada kekuatan barisan pertahanan mereka. Gandingan Nesta dan Cannavaro merupakan gandingan pertahanan tengah terbaik pernah dilahirkan Azzuri. Kedua-duanya melakukan penampilan pertama buat skuad kebangsaan semasa kejohanan Piala Dunia 1998 di Perancis. Ketika itu Cannavaro dipilih dalam kesebelasan utama manakala Nesta pula sekadar diletakkan di bangku simpanan. Pada kejohanan Euro 2000, gandingan ini mula disatukan dan mereka membentuk gandingan mantap di barisan belakang Itali hingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Biarpun mereka berdua diiktiraf sebagai gandingan pertahanan terbaik kejohanan itu, mereka gagal membantu Itali di perlawanan akhir. Ketika itu, Perancis memiliki skuad paling lengkap serta sukar dikalahkan dan gandingan ini terpaksa akur untuk menyaksikan Zinedine Zidane menjulang trofi kejuaraan. Bagaimanapun  Cannavaro akhirnya berjaya menebuskan kekalahan kepada Zidane dengan membantu Itali menang Piala Dunia 2006 selepas menewaskan Perancis yang diketuai Zidane di perlawanan akhir. - A.J

1 ulasan:

  1. preview arsebal vs man utd please

    BalasPadam