19 Januari 2013

SELEPAS DUA DEKAD...


Kevin bersama Giggs 20 tahun lalu

Foto terkini Kevin bersama Giggs

Seorang peminat Manchester United, Kevin Ashford memuatnaik gambar beliau di internet bersama lagenda Manchester United, Ryan Giggs yang dirakam di Carrington kira-kira 20 tahun lalu. Lebih menarik lagi, selepas 20 tahun gambar tersebut dirakamkan, Kevin berpeluang bertemu Giggs semula, dan merakamkan gambarnya sekali lagi bersama lagenda hidup United itu. Gambar pertama yang dirakamkan oleh bapa Kevin, Cliff menunjukkan beliau berdiri di sebelah Giggs yang ketika itu menggunakan kereta VW merah, manakala gambar kedua pula menunjukkan Kevin dan anaknya bersama Giggs yang kini menggunakan Range Rover hitam. Selepas 20 tahun berlalu, daripada seorang kanak-kanak kecil, Kevin kini sudahpun menjadi bapa yang berusia 30 tahun, dan daripada VW, Giggs kini menggunakan Range Rover pula. Segala-galanya sudah berubah tetapi hanya satu perkara yang masih kekal sejak 20 tahun yang lalu, iaitu Giggs masih terus bermain untuk Manchester United. Kevin Ashford dari Levenshulme memuatnaik gambar beliau bersama Giggs di Twitter dan telah di retweeted lebih dari 1,300 kali bukan saja dari kalangan penyokong United tetapi juga dari penyokong lawan yang kebanyakkannya begitu menghargai dan kagum dengan pencapaian serta sumbangan besar yang diberikan lagenda itu kepada United selama ini. Dua dekad lalu, Kevin merupakan pelajar di Sekolah St Mary dan kini beliau bertugas sebagai pemandu dan steward di Old Trafford. Menceritakan tentang gambar yang dirakamkan oleh ayahnya dua dekad lalu, Kevin berkata, “Ketika saya masih kanak-kanak, ayah akan membawa saya ke padang latihan United ketika cuti sekolah. Saya masih ingat, ketika itu tempat latihan United benar-benar terbuka di mana anda boleh berjalan di sebelah Peter Schmeichel dan Eric Cantona. Ketika itulah ayah merakamkan gambar saya bersama Giggsy. Masa terus berlalu di mana saya membesar, berkahwin dan mempunyai seorang anak tetapi dia masih lagi bermain dan apa yang dilakukannya adalah luar biasa”, kata Kevin. Menurut Kevin lagi, beliau terkejut dengan sambutan di Twitter selepas gambar itu dimuatnaik dan menganggap pencapaian yang dilakukan Giggs mungkin tidak akan dapat diulangi oleh mana-mana pemain selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan