27 Februari 2013

13 PELEDAK TERBAIK DI BAWAH ERA SIR ALEX FERGUSON (BAHAGIAN 1)


Bergantung kepada pilihan dan definisi anda tentang siapa peledak terbaik Manchester United dalam era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus sejak 1986. Di sini disenaraikan 13 peledak terbaik yang pernah bermain di bawah kendalian Sir Alex sepanjang 27 tahun karier pengendali itu di Old Trafford. Selain dari 13 nama yang disenaraikan di bawah, sebenarnya terdapat beberapa lagi peledak berbakat yang tidak tersenarai disebabkan beberapa faktor seperti Frank Stapleton, Peter Davenport dan Danny Welbeck. Stapleton umpamanya bersama United selama 6 tahun (1981-1987) dengan 223 penampilan serta menjaringkan 60 gol. Sama seperti Robin Van Persie, Stapleton menyertai United dari Arsenal tetapi itu tidak cukup untuk membuatkan beliau tersenarai dalam 13 penyerang terbaik di bawah era Sir Alex. Davenport pula menyertai United dari Nottingham Forest (1986-1988), tetapi kariernya di Old Trafford cukup pendek meskipun beliau dilabel sebagai antara penyerang berbakat di England ketika itu. Hari bagi Welbeck akan datang jua, tetapi sumbangan penyerang muda itu setakat ini masih belum cukup kuat untuk membuatkan namanya tersenarai dalam 13 terbaik. Jadi siapakah yang anda fikirkan ada dalam senarai ini?

13. Brian McClair: Brian McClair dalam beberapa keadaan sama seperti Wayne Rooney di mana beliau akan melakukan apa saja untuk pasukan dan bermain di mana-mana posisi yang dimahukan Sir Alex. McClair tiba dari Celtic dan menjaringkan 24 gol pada musim pertamanya di Old Trafford, satu rekod jaringan bagi seorang penyerang dalam tempoh 20 tahun. Walau bagaimanapun selepas ketibaan Eric Cantona, peranan McClair berubah di mana beliau kemudiannya diletakkan di bahagian tengah sebelum akhirnya digantikan Roy Keane. McClair merupakan pemain yang bijak dan bekerja keras walaupun beliau hanya menjaringkan 126 gol dalam 11 musimnya bersama United. 468 penampilan adalah bukti bagaimana pentingnya peranan yang dimainkan oleh McClair buat United ketika itu.

12. Teddy Sheringham: Sheringham bukanlah seorang penjaring prolifik dan biasanya beliau hanya diletakkan sebagai pemain simpanan (ketika bersama United). Tetapi Sir Alex tahu ciri-ciri seorang penyerang yang bagus jadi atas sebab itulah beliau menandatangani Sheringham dari Tottenham Hotspurs. Siapa pemain yang masuk sebagai pemain gantian di Nou Camp dan kemudiannya menjaringkan gol penyamaan dengan sentuhan pertama di final Liga Juara-Juara Eropah (edisi 1999). Solskjaer menerima pujian dan sanjungan kerana gol kemenangan ke atas Bayern Munich tetapi Sheringham adalah pemain yang mengubah permainan. Dia masih mampu bermain dengan baik di peringkat tertinggi (Liga Perdana) pada usia 30an, menjaringkan 355 gol dari 898 penampilan sepanjang kariernya. Bersama United, Sheringham bermain sebanyak 104 perlawanan dan menjaringkan 31 gol dari 1997 hingga 2001 sebelum pulang semula ke White Hart Lane.

11. Javier Hernandez: Hernandez a.k.a Chicharito masih muda ketika tiba di Old Trafford pada 2010 tetapi sudah mampu menjaringkan 13 gol pada musim pertamanya di Liga Perdana England. Tidak syak lagi, jika Chicharito kekal untuk tempoh yang lama di Old Trafford, beliau bakal muncul lagenda United satu hari nanti. Meskipun sejak akhir-akhir ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, Sir Alex tentunya tidak akan sekali-kali membiarkan supersub itu pergi. Chicharito dikenali sebagai pemain yang cukup berdisiplin dan rajin memperbaiki permainannya ketika sesi latihan. Apa yang perlu dilakukannya ialah terus menajamkan sentuhan pertamanya, meningkatkan lagi kemahiran menggelecek dan cuba mengelak dari terlalu kerap terjebak dalam perangkap offside lawan. Corak permainan Hernandez sebenarnya lebih mirip kepada Jimmy Greaves atau Robbie Fowler tetapi ramai juga yang mengatakan dia lebih menghampiri cara Fillipo Inzaghi bermain. Ketika ini, Chicharito adalah penyumbang gol kedua terbanyak United di belakang Robin Van Persie walaupun sering bermula di bangku simpanan. Sama seperti Van Persie, Chicharito juga sering menjaringkan gol-gol penting buat United musim ini. Rekod jaringannya 47 gol dari 107 penampilan, cukup banyak buat seorang supersub.

10. Dimitar Berbatov: Sir Alex suka pemain yang licik, maka dengan sebab itulah beliau menandatangani Berbatov dari Tottenham Hotspurs lima tahun yang lalu. Berbatov adalah tunjang buat Spurs sepanjang dua tahun kariernya di White Hart Lane di mana beliau menjaringkan 27 gol dari 70 penampilan bersama Spurs. Jika Berba bermain untuk United di era 80an atau 90an, beliau pastinya akan bermain dalam setiap perlawanan berdasarkan kemahiran individu yang dimilikinya. Semua orang mengagumi sepakan gunting Wayne Rooney ke gawang Manchester City tetapi hatrik Berba ke gawang Liverpool sepatutnya lebih diingati. Agak malang apabila Berba kurang diberikan pengiktirafan sewajarnya meskipun menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan untuk United. Berba mungkin tidak bernasib baik kerana dia muncul pada era di mana United memerlukan seorang penyerang yang pantas, bukannya seorang penyerang yang kadangkala dilihat `malas’ ketika di tengah padang.

9. Dwight Yorke: Dwight Yorke dan Andy Cole, Wayne Rooney dan Robin Van Persie. Yang mana merupakan kombinasi penggempur paling baik pernah dimiliki Sir Alex? Mereka berempat mempunyai satu persamaan iaitu bukan sekadar penjaring gol tetapi juga penyerang yang pintar. Ketika Sir Alex menandatangani Yorke dari Aston Villa dengan nilai 12.6 juta Pound pada 1998 ramai yang mempertikaikan tindakan beliau kerana mengeluarkan dana sebanyak itu untuk khidmat seorang pemain dari Trinidad & Tobago. Nilai 12.6 juta Pound sebenarnya cukup besar ketika itu tetapi Yorke membuktikan langkah Sir Alex membawanya ke Old Trafford dengan nilai sebanyak itu adalah tepat apabila beliau membentuk kombinasi paling digeruni bersama Andy Cole pernah disaksikan dalam saingan bolasepak Inggeris. Yorke hanya menghabiskan tempoh empat tahun di Old Trafford tetapi 65 gol dari 147 penampilan, tiga trofi Liga Perdana selain kejuaraan treble pada 1999 sudah cukup untuk meletakkan nama beliau dalam lipatan sejarah dan senarai peledak terbaik pernah beraksi di bawah era Sir Alex.

8. Ole Gunnar Solskjaer: Solskjaer antara pemain yang cukup disayangi peminat-peminat Manchester United disebabkan sumbangannya selama 12 tahun di Old Trafford. Mana-mana penyokong United tidak akan melupakan jaringan kemenangannya ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich di Nou Camp pada tahun 1999. Solskjaer mempunyai persamaan dengan bintang masa kini United, Javier Hernandez, bukan saja kerana mempunyai wajah keanak-anakkan tetapi juga kerana ketajaman mereka di hadapan pintul gol lawan sebagai supersub. Solskjaer menjaringkan 126 gol dari 366 penampilan untuk United dan beliau diiktiraf sebagai lagenda atas pencapaiannya bersama The Red Devils sepanjang 12 tahun kariernya menyarung jersi merah keramat United.

7. Mark Hughes: Agak malang apabila memikirkan kerjaya Hughes sebagai pemain begitu gemilang bersama United tetapi gagal sebagai pengurus. Paling terbaru apabila Sparky (gelaran Hughes) dipecat selepas gagal memberikan sebarang kemenangan kepada QPR hingga menyebabkan kelab itu terperosok di tangga terbawah liga. Hughes adalah pemain yang sezaman dengan Brian McClair tetapi bintangnya lebih menyerlah berbanding pemain Scotland itu hingga pernah menarik minat Barcelona untuk memancing beliau beraksi di Sepanyol (1986-1988) sebelum pulang semula ke Old Trafford. Hughes adalah penyerang yang berani dengan corak permainan yang keras sama ada ketika bermain untuk United mahupun Wales. Bagi yang pertama kali menyaksikan Hughes bermain ketika itu, mereka pastinya menyangka bahawa beliau adalah pemain pertahanan berdasarkan corak permainan kerasnya. Hughes menjaringkan 130 gol dari 345 penampilan untuk United tetapi apa yang lebih diingati tentang penyerang ini ialah kerja keras yang diberikannya untuk United setiap kali beliau diturunkan. Bagaimana anda melihat Wayne Rooney bermain ketika ini, begitulah juga Hughes beraksi ketika zaman kemuncaknya bersama United di era 80an dan 90an. - A.J

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan