31 Mac 2013

MAAF...CHICHARITO BUKAN UNTUK DIJUAL!


Meskipun jarang tampil dalam kesebelasan utama Manchester United, kelibat Javier Hernandez tetap menjadi perhatian beberapa kelab utama Eropah. Real Madrid dan Juventus secara terbuka mengatakan mereka berminat membawa keluar Hernandez dari Old Trafford musim panas ini jika United sedia menjual penyerang antarabangsa Mexico itu. Dalam saingan liga musim ini, Hernandez hanya bermain sebanyak 15 perlawanan, jauh dari pencapaian yang pernah dilakukannya dalam tempoh dua musim terakhir. Hernandez berdepan kesukaran memecah penguasaan Wayne Rooney dan Robin Van Persie di barisan hadapan United manakala Danny Welbeck pula berjaya memainkan peranan dengan berkesan dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex musim ini. Dengan kualiti pemain yang dimiliki United musim ini, mana-mana pengurus atau jurulatih akan berdepan masalah sepertimana yang dihadapi Sir Alex dalam memilih kesebelasan terbaiknya bagi setiap perlawanan. Disebabkan jarang diturunkan ramai pihak sudah mula meramalkan bahawa Hernandez akan meninggalkan Old Trafford dan spekulator pula sudah mula meletakkan namanya dalam senarai pemain United yang akan dijual musim panas ini. Bagaimanapun Sir Alex tetap sedar bahawa Hernandez masih lagi antara pemain utama dan penting dalam skuadnya, jadi atas sebab itulah bos United itu pantas menepis khabar-khabar angin yang meragui masa depan penyerang berusia 24 tahun itu di Old Trafford. Berkaitan tentang masa depan Hernandez, kata-kata dari Sir Alex ini sudah cukup untuk menepis sebarang spekulasi-spekulasi liar dan meredakan kebimbangan penyokong-penyokong United tentang kemungkinan bintang Mexico itu meninggalkan pasukan. “Dia memiliki kontrak jangka panjang bersama kami jadi dia tidak akan kemana-mana. Dia pemain yang sangat penting bagi kami”, kata Sir Alex. Menjelang pertembungan ulangan suku akhir Piala FA menentang Chelsea esok, kelibat Hernandez berkemungkinan besar dapat disaksikan berikutan rekod jaringannya yang cukup baik setiap kali berdepan The Blues. Rekod jaringan Hernandez ke atas Chelsea memang diakui ramai pihak dan situasi ini cukup membimbangkan penyokong-penyokong lawan. Hernandez sudah menjaringkan tujuh gol dari 10 pertemuan menentang Chelsea dan dia tidak pernah gagal membolosi gawang Petr Cech dalam empat pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan. Tetapi isu yang besar di sini ialah tentang tempoh yang dihabiskannya di bangku simpanan United hingga menyebabkan masa depannya mula dipersoalkan.

Kualiti kuartet penggempur yang dimiliki United musim ini sering dijadikan perbandingan dengan skuad juara treble United `99 yang ketika itu dibarisi Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solskjaer dan Teddy Sheringham. Dengan apa yang dimiliki sekarang, memang sukar buat Sir Alex memilih penyerang mana patut diturunkannya dalam setiap perlawanan. Sir Alex sendiri mengakui bahawa sukar baginya meninggalkan pemain sebagus Hernandez di bangku simpanan apatah lagi selepas melihat pemain berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan 16 gol dari 28 penampilan dalam semua kejohanan setakat ini. 16 gol adalah jumlah yang banyak buat seorang pemain yang kerap bermula dari bangku simpanan, jadi tidak hairanlah mengapa Sir Alex meletakkan tanda `Bukan Untuk Dijual’ ke atas Hernandez. Hernandez memang memiliki kualiti penyudah yang cukup fantastik ketika berada dalam petak penalti tetapi dalam masa yang sama Sir Alex juga tidak mampu meletakkan pemain yang memiliki kualiti kelas dunia seperti Robin Van Persie dan Wayne Rooney di bangku simpanan. “Saya sudah mengatakan kepadanya, bukan mudah buat saya meninggalkannya di bangku simpanan selepas melihat dia menjaringkan 16 gol musim ini. Situasi saya bertambah sukar selepas kami memiliki Van Persie dan dalam masa yang sama saya juga mempunyai Welbeck, Rooney dan Shinji Kagawa. Saya memiliki skuad yang mungkin terbesar dalam liga”, tambah Sir Alex bagi menjelaskan situasi sukar yang dialaminya ketika ini dalam memilih kesebelasan utama United. Meskipun jarang di turunkan dalam saingan liga domestik, Hernandez membuktikan ketajamannya di peringkat antarabangsa apabila menjaringkan dua gol ketika membantu Mexico mengikat Honduras 2-2 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Mac lalu. Kemampuan Hernandez seringkali dibandingkan dengan lagenda United, Ole Gunnar Solskjaer di mana kedua-duanya mempunyai satu persamaan, iaitu ketajaman mereka tidak tumpul biarpun banyak menghabiskan waktu di bangku simpanan. Katalah apa saja tentang Hernandez, sama ada dia memang penyerang yang mempunyai naluri pembunuh, bertuah atau sekadar bernasib baik setiap kali berdepan Chelsea. Jika diturunkan esok, ketajaman dan rekod baik Hernandez ketika berdepan Chelsea kembali ditagih untuk membawa United ke peringkat separuh akhir Piala FA sekaligus menjadikan misi menjulang kejuaraan double (kejuaraan liga dan Piala FA) buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun semakin hampir menjadi kenyataan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Anda Juga Mungkin Meminati:

REVIEW: KEJUARAAN KE-20 SEMAKIN HAMPIR


Pertembungan di Stadium of Light malam tadi bukanlah perlawanan yang menarik tetapi selepas tamat 90 minit Manchester United mendapat keputusan yang dimahukan mereka. Kemenangan 1-0 ke atas Sunderland mengulangi pencapaian mereka ke atas skuad The Black Cats itu musim lalu dan dengan baki 8 perlawanan lagi untuk diharungi, United kian menghampiri kejuaraan liga ke-20. Berdepan minggu yang agak sibuk, Sir Alex Ferguson nampaknya cukup berhati-hati memilih kesebelasan utamanya semalam apatah lagi United akan berkunjung pula ke Stamford Bridge berdepan Chelsea dalam perlawanan ulangan peringkat suku akhir Piala FA esok. Sir Alex memutuskan merehatkan Rio Ferdinand, Jonny Evans, Tom Cleverley, Patrice Evra, Wayne Rooney dan Danny Welbeck dalam perlawanan ini namun masih mampu meraih tiga mata penuh. Menyedari mereka perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi mengekalkan jurang mata di tangga teratas, United mula memberikan tekanan kepada barisan tuan rumah sejak awal permainan. Walaupun mendominasi penguasaan bola namun United sukar menembusi benteng lawan yang diterajui bekas pemain United sendiri iaitu John O’Shea dan Phil Bardsley. Gol tunggal perlawanan akhirnya terhasil diminit ke-27 apabila rembatan Robin Van Persie dari sebelah kanan pintu gol lawan tertampan Titus Bramble lalu menerjah gawang sendiri. Meskipun pada awalnya gol itu seolah-olah milik Van Persie tetapi akhirnya disahkan secara rasmi sebagai gol sendiri Bramble sekaligus menyaksikan penyerang United itu masih belum menjaringkan sebarang gol di peringkat liga sejak 11 Februari lalu. Babak kedua perlawanan menyaksikan tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dengan meningkatkan tekanan tetapi mendapati mereka sukar menembusi benteng pertahanan United. Hanya satu gerakan menarik yang dapat disaksikan di babak kedua menerusi percubaan Alexander Buttner yang berjaya ditepis keluar Simon Mignolet. Di penghujung permainan, Van Persie hampir menambah jaringan United tetapi walaupun hanya berdepan Mignolet, rembatannya berjaya diselamatkan penjaga gol itu. Kemenangan ini menyaksikan United masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga sejak kali terakhir tewas kepada Norwich City di Carrow Road pada 18 November lalu.

REAKSI BOS

Sementara itu, Sir Alex tetap berpuas hati walaupun pasukannya sekadar meraih kemenangan tipis ke atas Sunderland. Gol jaringan sendiri Titus Bramble itu sudah cukup memberikan United tiga mata penuh sekaligus mengekalkan jurang mata mereka di tangga teratas selepas pencabar terdekat Manchester Ciy mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Newcastle United di gelanggang sendiri. Walaupun gagal menambah sebarang gol selepas itu, Sir Alex gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain-pemainnya terutama di benteng pertahanan yang menyaksikan David de Gea berjaya mengekalkan rekod bersih tidak dibolosi enam perlawanan (liga) berturut-turut. “Para pemain menampilkan semangat juang yang tinggi. Kami bermain dengan baik di babak pertama tetapi tuan rumah mendominasi saingan di babak kedua. Ini adalah kemenangan ke-25 kami dari 30 perlawanan liga sekaligus rekod baru buat kami. Semua ini adalah kerana kerja keras serta dedikasi yang diberikan oleh semua pihak yang terlibat di Manchester United. Selain itu saya juga cukup berpuas hati dengan penampilan pasukan musim ini”, kata Sir Alex. Berbaki lapan perlawanan lagi untuk diharungi dan dengan kelebihan 15 mata yang dimiliki United, peluang juara bertahan, Manchester City yang cuba mengekalkan trofi liga di Stadium Etihad musim ini tampak semakin menghampiri penamatnya. United boleh menamatkan perjuangan City musim ini jika berjaya menewaskan skuad Roberto Mancini apabila kedua-dua musuh setempat itu bertemu dalam saingan liga pada 9 April ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Sunderland-United:

Penguasaan Bola: 39% - 61%
Percubaan Tepat: 1 – 8
Percubaan Tersasar: 9 – 14
Sepakan Sudut: 3 – 6
Kekasaran: 12 – 9
Offside: 1 – 3
Kad Kuning: 3 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Gol: 0 - 1

29 Mac 2013

PREVIEW: SUNDERLAND lwn MANCHESTER UTD



Manchester United kembali semula ke Stadium of Light buat pertama kali, gelanggang di mana barisan The Red Devils menyaksikan mahkota liga yang mereka menangi pada musim 2010-11 terlucut dari genggaman pada perlawanan terakhir liga musim lalu. Jika 10 bulan lalu, United berkunjung ke Stadium of Light membawa misi hampir mustahil iaitu mahu mempertahankan kejuaraan liga dari terlepas ke tangan Manchester City, kini situasi sudah berputar hampir 360 darjah. Ketika ini United begitu selesa menerajui takhta liga dengan kelebihan 15 mata, jauh meninggalkan City yang berada di tangga kedua. Tewas atau seri, tidak memberikan perubahan yang besar kepada kedudukan United di tangga teratas liga tetapi jika skuad kendalian Sir Alex Ferguson berjaya menewaskan Sunderland dalam perlawanan ini, City yang akan berdepan Newcastle United dua jam kemudian pasti lebih tertekan. Selepas sebahagian besar pemain-pemainnya terlibat dengan perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing minggu ini, Sir Alex kini terpaksa memikirkan kemungkinan menurunkan dua kesebelasan utama berbeza bagi berdepan aksi liga dan perlawanan ulangan saingan suku akhir Piala FA menentang Chelsea, 1 April ini.

Anders Lindegaard dijangka mengambil alih tempat David de Gea manakala gandingan Rio Ferdinand dan Chris Smalling mungkin bertindak selaku benteng tengah bagi memberi laluan pula buat Nemanja Vidic dan Jonny Evans beraksi (menentang Chelsea pada saingan suku akhir Piala FA) di Stamford Bridge. Jika Sir Alex memutuskan mahu merehatkan Patrice Evra dan Rafael da Silva maka Phil Jones yang baru pulih dari kecederaan dan Alexander Buttner bakal digunakan bagi mengisi posisi bek kiri dan kanan. Di bahagian tengah pula, Ryan Giggs dan Anderson akan mengisi posisi tersebut jika Tom Cleverley dan Michael Carrick yang bermain untuk England pada hari Rabu ketika berdepan perlawanan sukar menentang Montenegro direhatkan. Ashley Young, Nani dan Antonio Valencia bakal bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat di posisi sayap kiri dan kanan manakala siapa yang bakal diletakkan Sir Alex selaku penggempur bergantung kepada penyerang mana yang akan diturunkannya pada perlawanan menentang Chelsea, Isnin ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Sunderland hanya menang sekali dari 23 perlawanan terakhir mereka menentang United. Selebihnya mereka tewas 17 kali dan seri 5 kali.

- Sunderland hanya berjaya meraih dua mata dari sembilan pertemuan terakhir menentang United di gelanggang sendiri.

- United hanya dibolosi satu gol dalam tempoh 572 minit terakhir menentang Sunderland dalam saingan liga.

- United berjaya mengutip 47 mata dari 17 perlawanan terakhir mereka.

- David de Gea tidak dibolosi dalam lima perlawanan terakhir di peringkat liga.

Barisan Kemungkinan Sunderland:

Simon Mignolet, John O’Shea, Titus Bramble, Craig Gardner, Jack Colback, Danny Rose, Alfred N’Diaye, Sebastian Larsson, Adam Johnson, Danny Graham & Ryan Noble

Barisan Kemungkinan United:

Anders Lindegaard, Alexander Buttner, Rio Ferdinand, Chris Smalling, Phil Jones, Nani, Anderson, Ryan Giggs, Antonio Valencia, Javier Hernandez & Danny Welbeck

27 Mac 2013

RVP, SUAREZ & BALE...SIAPA LEBIH HEBAT?


Robin Van Persie, Luis Suarez dan Gareth Bale dijangka bersaing sesama sendiri bagi merebut anugerah Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana England pada akhir musim nanti. Walaupun Van Persie, Suarez dan Bale memainkan peranan yang sangat berbeza untuk kelab masing-masing namun berkongsi fakta yang sama, iaitu mereka bertiga adalah finisher hebat musim ini. Ketiga-tiga mereka sudah menghimpunkan 73 gol dalam semua kejohanan setakat ini dengan kemungkinan seorang dari mereka akan memenangi anugerah pemain terbaik manakala seorang lagi meraih anugerah kasut emas di akhir musim. Perlu diakui bahawa Van Persie, Suarez dan Bale merupakan pemain yang cukup cemerlang dari segi teknikalnya dan mereka cukup ditakuti mana-mana pemain pertahanan di Liga Perdana apabila bola berada di kaki mereka. Kemahiran yang dimiliki mereka menerusi pergerakan-pergerakan yang mengelirukan selain sering berada pada waktu dan posisi yang tepat untuk menjaringkan gol menjadikan mereka igauan ngeri pertahanan lawan.

Van Persie sudah membuktikan betapa dia adalah penyerang kelas dunia sejak bersama Arsenal lagi dan sekarang meneruskan kehebatannya bersama Manchester United pula. Kemampuan Van Persie bukan setakat berada di belakang pertahanan lawan dan kemudiannya menunggu hantaran rakan sepasukan untuk disudahkan tetapi dia juga dianggap penyerang yang cukup kreatif dalam menyusun gerakan ketika melancarkan serangan. Van Persie boleh menyebabkan penjaga gol berpengalaman sekalipun umpama pemain amatur menerusi kehebatan kaki kirinya sama ada melalui gerakan-gerakan padang ataupun menerusi sepakan percuma. Ramai pihak tidak menjangkakan bahawa Van Persie akan menjaringkan banyak gol buat United pada musim pertamanya selepas berhijrah dari Arsenal musim panas lalu. Bukan mudah buat seseorang pemain menyesuaikan diri dengan pasukan baru baik dari segi permainan, taktikal atau individu-individu disekelilingnya. Tetapi itulah sebenarnya kehebatan Van Persie di mana dia membuktikan pemain kelas dunia sepertinya tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk beradaptasi dengan pasukan baru. Sejak Ruud Van Nistelrooy meninggalkan Old Trafford tujuh tahun lalu, peminat-peminat United merindui kelibat seorang finisher sehebatnya sehinggalah Sir Alex melakukan langkah besar dengan menandatangani Van Persie Ogos lalu. Pada usia 29 tahun, Van Persie sedang berada dikemuncak kariernya dan jika United berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali ke-20, itu adalah detik terbaik dalam keseluruhan kerjaya Van Persie. Kejuaraan berganda dengan memenangi Piala FA pula adalah bonus buat penyerang antarabangsa Belanda itu pada musim pertamanya di Old Trafford.

Meskipun Luis Suarez bermain untuk Liverpool yang juga merupakan musuh tradisi United, tetapi kita perlu bersikap adil terhadapnya dengan mengakui bahawa Suarez adalah antara penyerang yang dianugerahkan dengan skil hebat. Ketika Suarez masih bersama Ajax Amsterdam, saya pernah berharap agar suatu hari nanti Sir Alex akan membawanya beraksi di Old Trafford, tetapi malang Kenny Dalglish lebih kehadapan dalam mendapatkan khidmatnya. Kontroversi yang tercetus antara dirinya dan Patrice Evra musim lalu tidak pernah memadamkan kehebatannya di tengah padang meskipun dia antara pemain paling dibenci di England. Lupakan seketika kontroversi-kontroversi yang pernah dicetuskan Suarez dan mari kita lihat sumbangan yang diberikannya kepada Liverpool musim ini. Setakat ini Suarez adalah penjaring terbanyak liga dengan 22 gol dan dia sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan dalam semua kejohanan musim ini. Ramai yang mengatakan bahawa Liverpool terlalu bergantung kepada Suarez dalam menghasilkan gol musim ini sehingga ada yang melabelkan penyerang antarabangsa Uruguay itu secara berseorangan berjaya membawa The Reds naik ke kedudukan lebih baik dalam carta liga biarpun di awal musim berada di kelompok bawahan. Suarez adalah contoh pemain yang gigih di atas padang dan berbekalkan kemahiran serta kepintaran yang dimilikinya, Suarez sebenarnya sedang menuju proses menjadi penyerang terbilang satu hari nanti.  Pemain seperti Van Persie, Didier Drogba dan Dimitar Berbatov menikmati tempoh terbaik dalam kerjaya mereka pada usia 27 hingga 30 tahun, jadi bagi Suarez yang kini berusia 26 tahun, dia dijangka lebih menyerlah musim hadapan selepas melalui tempoh yang cukup cemerlang musim ini.

Gareth Bale baru berusia 23 tahun dan sudah pasti selepas apa yang disumbangkannya untuk Tottenham Hotspurs musim ini, dia mempunyai masa depan yang cukup cemerlang. Selepas mula mencuri tumpuan musim lalu, Bale benar-benar meledak musim ini sehingga menyebabkan dirinya muncul pemain paling diburu kelab-kelab utama Eropah. Di bawah kendalian Harry Redknapp, Bale bermula sebagai bek kiri tetapi kepantasannya dimanfaatkan pengendali berpengalaan itu dengan menukar posisi Bale ke bahagian sayap kiri pula. Bermula dari situlah karier Bale semakin menyinar dan dia benar-benar menikmati peranan yang dimainkannya sekarang. Peranan Bale dalam skuad Spurs sekarang tidak terbatas sebagai pemain sayap sahaja kerana dia juga sering digunakan Andre Villas-Boas untuk bertindak selaku penyerang tengah. Dalam tempoh hanya beberapa musim, Bale muncul kuasa peledak untuk Spurs dan bintang utama kelab dari London itu. Kemampuan Bale sering dibandingkan dengan Cristiano Ronaldo dan tidak terkecuali rakan senegaranya yang juga lagenda Manchester United, Ryan Giggs ketika zaman kemuncaknya. Sebagai pemain sayap, Bale tidak bergantung kepada kepantasannya semata-mata tetapi dia juga menggunakan kelebihan kekuatan fizikalnya untuk menewaskan pemain pertahanan lawan. Di gimnasium Bale bekerja keras membentuk kekuatan fizikalnya manakala ketika di padang latihan pula dia menghabiskan masa berjam-jam mengasah ketajaman penyudah serta memperbaiki teknik sepakan percumanya. Dalam saingan liga setakat ini Bale sudah menjaringkan 16 gol dari 26 penampilan, jumlah tertinggi yang dihasilkannya sejak 6 musim bersama Spurs. Jadi tidak mengejutkan jika satu hari nanti Bale mungkin akan digunakan sebagai penyerang tengah sepenuhnya.

Selepas apa yang mereka sumbangkan musim ini sukar untuk memilih siapa yang lebih baik di antara mereka bertiga. Van Persie adalah mesin gol buat United dan dia membuktikan penyerang kelas dunia sepertinya tidak memerlukan waktu yang panjang untuk menyerlah bersama pasukan baru. 19 gol dari 26 aksi liga setakat ini membuktikan wibawa sebenar Van Persie sebagai penjaring gol, itu belum lagi diambil kira beberapa gol penting yang dihasilkannya musim ini. Sepakan percuma Van Persie yang menghasilkan gol kemenangan United di Stadium Etihad adalah contoh terbaik. Ketika masih bersama Arsenal, setiap kali mereka menguasai bola, hantaran pastinya akan ditujukan kepada Van Persie, hal yang sama juga berlaku kepada Suarez di Liverpool. Setakat ini Suarez sudah bermain semua perlawanan liga untuk Liverpool dan menjaringkan 22 gol, lebih sekali ganda dari apa yang dihasilkannya musim lalu. Suarez dibeli Kenny Dalglish bagi menggantikan tempat Fernando Torres yang berhijrah ke Chelsea. Hadir di Anfield pada pertengahan musim 2010-11, Suarez menjaringkan 4 gol dari 13 penampilan liga. Musim lalu, penyerang antarabangsa Uruguay itu menjaringkan 11 gol dari 31 aksi, tetapi musim ini Suarez benar-benar meledak. Berbanding Van Persie dan Suarez, Bale mungkin lebih mencuri tumpuan musim ini. Bale antara pemain Spurs yang cukup konsisten dan dia adalah bintang sebenar di White Hart Lane ketika ini. Mungkin juga Bale satu-satunya pemain Spurs yang mampu bermain dengan mana-mana kelab terbaik dunia. Bale memiliki potensi besar untuk menjadi bintang utama dunia satu hari nanti dan dia sebenarnya dalam landasan tepat menuju ke arah itu. Jadi siapakah di antara mereka yang terbaik musim ini? Jika saya diberi pilihan dan sebagai peminat Manchester United, sudah tentu saya memilih Robin Van Persie. Peluang buat Van Persie mempertahankan anugerah yang dimenanginya musim lalu lebih terbuka andainya United berjaya meraih kejuaraan double musim ini…Glory Glory Manchester United!!! – A.J

25 Mac 2013

5 VOLI SENSASI MANCHESTER UNITED


Dengan deretan trofi yang tersimpan di dalam kabinet kejuaraan Manchester United. kejayaan demi kejayaan yang dicapai mereka, pasti juga banyak gol-gol menarik yang pernah dihasilkan lagenda-lagenda The Red Devils. Kali ini saya memilih beberapa gol menarik yang dihasilkan menerusi tendangan voli dari Eric Cantona, Wayne Rooney, Paul Scholes dan Mark Hughes. Gol-gol ini dipilih bukan sahaja kerana ianya menarik tetapi juga memberi makna tersendiri, umpamanya gol Hughes ketika menentang Oldham Athletic di peringkat separuh akhir Piala FA 1994 (baca di bawah untuk mengetahui kisah lebih lanjut tentang gol ini). Gol-gol yang dihasilkan menerusi sepakan voli ini juga sebenarnya memerlukan teknik, kemahiran dan ketepatan yang hanya mampu dilakukan oleh pemain kelas dunia. Berikut adalah pilihan lima gol terbaik yang pernah menghiasi sejarah panjang kejayaan United, dihasilkan menerusi tendangan voli oleh oleh para lagenda dan pemain terbaik The Red Devils.

#5 MARK HUGHES, MAN UTD v OLDHAM ATHLETIC (1994)


Perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA edisi 1993-94 menemukan Manchester United dan Oldham Athletic yang diadakan di Stadium Wembley pada 10 April 1994. Kedua-dua pasukan terpaksa bermain hingga ke masa tambahan selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan. United pada mulanya ketinggalan 0-1 menerusi gol Andy Ritchie dan ketika permainan masa tambahan berbaki seminit untuk ditamatkan, Mark Hughes muncul penyelamat menerusi sepakan voli menarik untuk mengikat kedudukan sekaligus memaksa perlawanan ulangan diadakan. Tiga hari selepas itu, United berjaya menewaskan Oldham 4-1 pada perlawanan ulangan yang diadakan di Maine Road untuk melangkah ke perlawanan akhir bertemu Chelsea. Malang buat Oldham kerana mereka bukan saja gagal layak ke perlawanan akhir malah tersingkir dari kancah Liga Perdana musim itu. Selepas 19 tahun tersingkir dari saingan elit Liga Perdana, Oldham tidak pernah berjaya kembali semula dan mereka kini sekadar beraksi di League One. United berjaya menjulang kejuaraan Piala FA musim itu selepas menewaskan Chelsea 4-0 di perlawanan akhir menerusi gol sumbangan Eric Cantona (2 gol), Mark Hughes dan Brian McClair.

#4 ERIC CANTONA, MAN UTD v LIVERPOOL (1996)


Selepas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA 1994, Manchester United sekali lagi berjaya menjulang trofi itu dua tahun kemudian. Perlawanan akhir penuh dramatik itu menemukan United dengan musuh tradisi mereka, Liverpool. Ketika kedudukan masih terikat 0-0, Eric Cantona muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan ketika masa sebenar permainan berbaki 5 minit untuk ditamatkan. Sepakan voli Cantona dari luar petak penalti gagal diselamatkan David James sekaligus menghadiahkan kejuaraan ke-9 Piala FA buat United. Gol Cantona itu juga antara gol paling diingati penyokong-penyokong United bukan sahaja kerana ia adalah gol kemenangan perlawanan akhir tetapi lebih penting gol itu tercipta ke gawang musuh tradisi mereka, Liverpool. Gol itu juga melengkapkan lagi status Cantona sebagai lagenda di Old Trafford.

#3 WAYNE ROONEY, MAN UTD V NEWCASTLE (2005)


Wayne Rooney memang diakui sudah mencipta banyak jaringan-jaringan menarik sejak tiba di Old Trafford pada 2004. Salah satu `karya’ terbaiknya dihasilkan ketika menentang Newcastle pada 2005. Dari luar petak penalti, Rooney menyambut bola yang melambung ke arahnya lalu melepaskan sepakan voli menarik tepat ke penjuru kanan gawang The Magpies untuk menyamakan kedudukan 1-1. Wes Brown kemudiannya menjaringkan gol kemenangan United tetapi gol Rooney menyebabkan seluruh Old Trafford bergemuruh. Gol itu memang cukup menarik tetapi itu bukanlah gol terbaik dalam karier Rooney.

#2 PAUL SCHOLES, ASTON VILLA v MAN UTD (2006)


Semua penyokong-penyokong Manchester United tahu bahawa Paul Scholes memiliki kemampuan menjaringkan gol menerusi rembatan-rembatan deras jarak jauh. Aston Villa antara pasukan yang pernah menjadi mangsa ketepatan rembatan Scholes. Ketika United dianugerahkan sepakan sudut, Scholes menunggu dari luar petak penalti persis pemangsa sedang menghendap mangsanya. Bola sepakan sudut itu berjaya dikeluarkan pemain Villa tetapi malangnya tepat menuju ke arah Scholes. Di situlah bermulanya mimpi buruk Thomas Sorensen yang menyaksikan rembatan voli sensasi Scholes menuju tepat ke penjuru kanan gawangnya hingga menyebabkan penyokong-penyokong tuan rumah terdiam seketika. Reaksi rakan-rakan sepasukan di dalam dan luar padang sudah cukup membuktikan betapa hebatnya jaringan Scholes itu.

#1 WAYNE ROONEY, MAN UTD v MAN CITY (2011)


Siapa yang boleh melupakan gol sensasi ini, baik penyokong-penyokong United mahupun penyokong-penyokong City sendiri. Ketika pertembungan derby antara dua musuh setempat itu, Rooney memilih waktu yang tepat untuk membuatkan detik ini diingati selama-lamanya. Ketika keputusan perlawanan masih terikat 1-1, Rooney melepaskan rembatan voli anti graviti atau bicycle kick sensasi yang memastikan United meraih tiga mata penuh ke atas musuh setempat mereka itu. Selepas perlawanan, Rooney mengatakan ini adalah gol terbaik pernah dihasilkan sepanjang kariernya. Tambah sempurna dan manis apabila gol sehebat ini menembusi pula gawang seteru setempat mereka. “Saya tidak ingat apakah ada gol yang lebih sensasi dari gol ini di Old Trafford”, kata Sir Alex bagi melahirkan kekagumannya selepas tamat perlawanan. Kata-kata Sir Alex itu adalah sebab utama mengapa gol ini berada di tangga teratas. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 Mac 2013

PEMAIN TERBAIK YANG PERNAH MENYARUNG JERSI NO 10 UNITED


Dalam dunia bolasepak, jersi nombor 10 melambang prestijnya yang tersendiri dan sering digunakan para lagenda dari dulu hinggalah sekarang. Dari zaman Pele, Diego Maradona, Gheorghe Hagi, Ronaldinho hinggalah ke Lionel Messi, mereka adalah contoh pemain hebat yang menggunakan nombor 10 pada jersi mereka. Kita di Malaysia tidak terkecuali kerana turut mempunyai lagenda nombor 10 kita sendiri yang tiada pengganti hingga kini, siapa lagi kalau bukan Allahyarham Mokhtar Dahari atau Supermokh. Di Manchester United terdapat beberapa pemain terbaik yang pernah menyarung jersi nombor 10 terutamanya sejak era Busby Babes, Class of 92 hinggalah yang terkini apabila nombor itu (10) digunakan pula Wayne Rooney. Dennis Viollet antara pemain yang pernah menggunakan jersi nombor 10, sama seperti Sir Bobby Charlton, Viollet juga antara mangsa yang terselamat dalam nahas udara Munich 1958. Viollet menjaringkan 32 gol dari 36 penampilan musim 1959/60 dan meneruskan rentak jaringannya hingga berjaya menghasilkan 159 gol dari 293 penampilan bersama United sebelum dijual kepada Stoke City. Seorang pemain yang pernah menggunakan nombor 10 tetapi kurang dikenali kebanyakkan peminat-peminat United ialah Stan Pearson. Pearson merupakan pemain tengah tetapi dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding penyerang-penyerang yang ada ketika itu. Stan menjaringkan 148 gol dari 343 penampilan hingga menyaksikan dia berada di kedudukan ke-12 dalam senarai penjaring gol sepanjang masa United, hanya kurang dua gol di belakang Ruud Van Nistelrooy. Berikut adalah 10 pemain terbaik Manchester United yang pernah menggunakan jersi nombor 10, tetapi beberapa nama yang disenaraikan di bawah mungkin sedikit mengejutkan anda.

BOBBY CHARLTON

Bobby Charlton lebih terkenal dengan jersi nombor 9. Ini adalah disebabkan imejnya dengan jersi nombor 9 lebih dikenali terutama ketika era kegemilangnya membentuk gandingan mantap bersama Dennis Law di barisan hadapan United. Ketika Charlton membantu United menjulang kejuaraan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) tahun 1968 dia menggunakan nombor 9 yang cukup terkenal itu. Jadi tidak hairanlah hingga ke hari ini peminat-peminat United lebih mengenali Charlton dengan jersi nombor 9 berbanding nombor-nombor lain yang pernah digunakannya. Untuk sebahagian besar kariernya, Charlton merupakan pemain tengah yang bergerak lebih kedalam, atau dalam istilah bolasepak moden peranan ini lebih dikenali sebagai attacking midfielder. Selepas Charlton tidak lagi menggunakan nombor 10, United terpaksa menanti lebih dari 50 tahun untuk mencari pengganti sehebat Charlton bagi menyarung jersi (nombor 10) tersebut sehinggalah kemunculan Wayne Rooney.

DENIS LAW

Denis Law memang dilahirkan untuk menjaringkan gol dan dengan bakat yang ada pada dirinya, dia mampu bermain merentasi mana-mana zaman sekalipun. Bersama United dari tahun 1962 hingga 1973, Law menjaringkan 237 gol dari 404 penampilan dalam semua kejohanan manakala di peringkat liga pula, Lawman menjaringkan 171 gol dari 309 penampilan. Sepanjang kerjayanya pula, Law menjaringkan 332 gol dari 652 penampilan sama ada di peringkat kelab mahupun ketika mewakili pasukan kebangsaan Scotland. Dalam senarai penjaring sepanjang masa United, Law berada di tangga kedua, di belakang Sir Bobby Charlton. Law adalah lagenda untuk United dan Scotland bukan sahaja kerana statistik jaringannya yang hebat dan medal-medal kejuaraan yang sudah dimenanginya tetapi dia juga merupakan satu-satunya pemain dari Scotland yang pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Eropah (Balon d’Or) 1964. Jika tidak kerana masalah kecederaan lutut yang memaksanya bersara pada usia 33 tahun, mungkin lebih banyak kejayaan yang mampu dicapai Law dalam kariernya. Ketika United menjulang kejuaraan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) buat pertama kali pada tahun 1968, Law tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan dan itu merupakan kekecewaan paling besar yang dialami sepanjang kariernya. Meskipun Law menamatkan kerjayanya bersama musuh setempat United, Manchester City dan jaringannya ke gawang United pada aksi terakhir liga musim 1973/74 menyebabkan The Red Devils tersingkir ke Divisyen 2, Lawman tetap diiktiraf sebagai lagenda Manchester United dan kini memainkan peranan selaku duta kelab.

GEORGE BEST

Pasti ramai yang terkejut mengapa Best berada dalam senarai ini. Best biasanya dikaitkan dengan jersi nombor 7 yang dianggap nombor ikonik bagi peminat-peminat Manchester United. Sebelum menggunakan nombor 7, Best sebenarnya sudah menggunakan beberapa nombor pada jersinya, antaranya 8, 10 dan 11. Ketika itu nombor yang digunakan pemain menggambarkan posisi atau peranan yang dimainkan mereka ketika di atas padang. Jadi tidak hairanlah jika seseorang pemain pada zaman itu menggunakan nombor yang berbeza-beza tidak seperti sekarang. Inilah buktinya bahawa Best merupakan pemain yang cukup versatile dan boleh diletakkan dimana-mana posisi. Best menggunakan nombor 10 pada tahun 1972, tempoh di mana kariernya bersama United berada di penghujung. Best akhirnya meninggalkan Old Trafford pada usia 27 tahun selepas pihak pengurusan tidak mampu menangani gaya hidupnya yang bermasalah.

LOU MACARI

Jika pemain-pemain yang disenaraikan di atas menggunakan lebih dari satu nombor, Lou Macari pula lain ceritanya. Macari mungkin pemain United yang paling terkenal dengan jersi nombor 10. Macari diangkat sebagai wira penyokong-penyokong United selepas menolak tawaran Liverpool dan menyertai The Red Devils dari Glasgow Celtic pada tahun 1973. Macari menjaringkan gol penyamaan ketika menentang West Ham pada penampilan pertamanya sekaligus memaksa The Hammers berkongsi mata dengan United. Meskipun bermula dengan langkah kanan pada penampilan pertamanya, Macari hanya menjaringkan 97 gol dari 404 penampilan buat The Red Devils. Macari digemari penyokong-penyokong United berikutan sikap happy go lucky yang ditunjukkannya di tengah padang serta gemar melayan kerenah peminat-peminatnya. Macari dibawa ke Old Trafford oleh Tommy Docherty (pengurus United ketika itu) dan kekal bersama kelab selama 12 musim sebelum menyertai Swindon Town pada usia 35 tahun. Selepas bersara sebagai pemain, Macari menceburi bidang kejurulatihan dan sekarang dia merupakan pengulas untuk MUTV.

NORMAN WHITESIDE

Pada 24 April 1982, sebelum ulang tahunnya yang ke-17, Norman Whiteside muncul pemain termuda melakukan debut untuk Manchester United sejak Duncan Edwards. Dari beberapa segi, Whiteside sebenarnya mirip kepada Edwards. Whiteside merupakan pemain muda berbakat besar di posisi sayap kanan ketika itu dan sumbangannya yang paling diingati ialah gol kemenangan yang dihasilkan ketika menewaskan Everton 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA tahun 1985. Tdak seperti sekarang, Everton adalah pasukan pilihan ketika itu dengan barisan pemain-pemain hebat yang dimiliki mereka seperti Andy Gray, Neville Southall, Graeme Sharp, Peter Reid, Pat Van den Hauwe dan Kevin Ratcliffe. Walau bagaimanapun Whiteside membenam ego The Toffees dalam perlawanan itu menerusi rembatan melencong cukup menarik dengan kaki kirinya diminit ke-110 yang gagal diselamatkan Southall. Empat tahun kemudian Whiteside meninggalkan Old Trafford dan menyertai Everton selepas melakukan 206 penampilan dan menjaringkan 47 gol untuk kelab. Whiteside terpaksa menamatkan kariernya pada usia muda (26 tahun) selepas berdepan masalah kecederaan lutut yang dialaminya sejak berusia 15 tahun. Whiteside hingga kini sentiasa diingati menerusi gol kemenangannya di perlawanan akhir Piala FA 1985, saat dia bergerak di sebelah sayap kanan dan mengenakan jersi nombor 4. Sebenarnya sebelum menggunakan jersi nombor 4, Whiteside terlebih dahulu menggunakan nombor 10 ketika di awal kemunculannya.

MARK HUGHES

Sekarang tibalah waktu untuk lagenda nombor 10 sebenar. Secara total, Hughes memiliki dua fasa dalam kariernya bersama United selepas ditandatangani pada usia 14 tahun. Hughes diberi peluang tampil buat pertama kali ketika berusia 19 tahun, dan selepas itu dia berjaya memecah penguasaan Norman Whiteside dan Frank Stapleton dalam skuad utama. Sparky akhirnya berjaya mengambil alih penguasaan nombor 10 dari Stapleton. Fasa pertama dia bermain untuk United dari tahun 1982 hingga 1986 sebelum meninggalkan kelab untuk menyertai Barcelona. Hughes tidak kekal lama di Nou Camp, di mana dia tampil sebanyak 28 perlawanan dan menjaringkan 4 gol sebelum menyertai Bayern Munich selama semusim sebagai pemain pinjaman. Sparky kemudiannya pulang semula ke pangkuan United pada tahun 1988 dan kekal di Old Trafford hingga tahun 1995. Secara keseluruhannya, Sparky menjaringkan 163 gol dari 467 penampilan dalam dua fasa di Old Trafford. Dia merupakan penjaring gol unggul ketika zaman kemuncaknya, jadi tidak hairanlah mengapa Barca sedia membawanya beraksi di Sepanyol. Sparky tetap diiktiraf sebagai lagenda meskipun dia kemudiannya mengendalikan seteru setempat United, Manchester City selama semusim (2008-2009).

DAVID BECKHAM

Selepas George Best nampaknya ada lagi satu kejutan…Beckham #10? Ya memang betul, Beckham cukup terkenal dan lebih dikenali dengan nombor 7 di belakang jersinya tetapi ramai yang tidak tahu bahawa di awal kemunculannya bersama United, Becks bermula dengan nombor 10. Becks melakukan penampilan pertama untuk United ketika menentang Wimbledon di mana dia mewarisi jersi nombor 10 daripada Mark Hughes. Ramai juga yang mungkin tidak tahu bahawa ketika di awal kemunculannya bersama skuad utama United, Becks sebenarnya bermula sebagai pemain tengah sebelum Sir Alex meletakannya di posisi sayap kanan. Bukan sahaja berjaya dengan peranan baru yang dimainkannya, malah Becks turut diberikan nombor ikonik 7 pada jersinya sekaligus mewarisi dari lagenda sebelumnya iaitu George Best, Bryan Robson dan Eric Cantona.

TEDDY SHERINGHAM

Seperti Robin Van Persie, Michael Carrick, Rio Ferdinand, Henrik Larsson, Dimitar Berbatov dan Ryan Giggs, Teddy Sheringham dianggap sebagai salah seorang pemain paling pintar yang pernah menyarung jersi Manchester United. Sheringham tidak memiliki kepantasan tetapi seperti Denis Bergkamp untuk Arsenal, dia memiliki visi yang cukup besar dalam permainan dan seorang penyerang yang oportunis. Contoh terbaik ialah ketika United berdepan Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999. Sheringham ditandatangani Sir Alex ketika dia sudahpun berusia 31 tahun, umur yang dianggap agak tua dalam dunia bolasepak. Jika melihat aksinya di hadapan gawang lawan, anda boleh lupakan usianya kerana Sheringham memiliki nafsu yang cukup tinggi untuk menjaringkan gol melebihi pemain-pemain muda ketika itu. Empat tahun di Old Trafford, Sheringham akhirnya meninggalkan United pada usia 35 tahun dan pulang semula ke White Hart Lane menyertai Tottenham Hotspurs. Sheringham masih bermain di peringkat tertinggi sehingga berusia 41 tahun, melangkaui apa yang Ryan Giggs lakukan ketika ini dan kemudiannya beralih ke divisyen lebih rendah dengan menyertai Colchester United (yang bermain di Liga Kejuaraan) pada tahun 2007 di usia 42 tahun.

RUUD VAN NISTELROOY

Dengan nombor 10 yang tertera di belakangnya, Ruud Van Nistelrooy adalah penyerang serba lengkap. The Flying Dutchman diiktiraf sebagai salah seorang penggempur terbaik pernah beraksi untuk United di mana dia menjaringkan 150 gol dari 210 penampilan. Nistelrooy merupakan pemburu gol sejati, sering menipu `pengawalnya’ dengan larian-larian yang cukup mengelirukan dan peluang buat penjaga gol lawan mengutip bola di gawang sendiri cukup besar bila Nistelrooy berada dalam petak penalti mereka dengan bola dikakinya. Jadi tidak hairanlah Nistelrooy menjaringkan hampir kesemua golnya dari dalam petak penalti. Sir Alex cuba menandatangani Nistelrooy pada tahun 2000 tetapi terpaksa membatalkan hasratnya berikutan kecergasan pemain itu yang meragukan. Ketika Nistelrooy sedang dalam tempoh pemulihan berikutan masalah kecederaan lututnya, Sir Alex akhirnya nekad membawanya ke Old Trafford pada 2001. Musim pertamanya bersama United (2001-02), Nistelrooy menjaringkan 36 gol dari 49 penampilan, memecahkan rekod dengan menjaringkan gol lapan perlawanan berturut-turut dan muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 10 gol. Kejayaan Nistelrooy bertambah lengkap apabila dia dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana England musim tersebut. Biarpun diiktiraf selaku penggempur hebat, karier Nistelrooy di Old Trafford boleh dikatakan agak singkat. Dia bermain selama lima musim dan hanya memenangi empat trofi utama termasuk satu kejuaraan Liga Perdana musim 2002-03. Pergeseran dengan Cristiano Ronaldo ataupun tawaran 24 juta Pound dari Real Madrid yang sukar ditolak Sir Alex menyebabkan karier Nistelrooy di Old Trafford berakhir dan dia berhijrah ke Santiago Bernabeu pada musim panas 2006.

WAYNE ROONEY

Disebabkan tindakan Sir Alex meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara 6 Mac lalu, penyerang England itu sekali lagi menjadi sasaran spekulasi media berhubung masa depannya di Old Trafford. Situasi sama pernah tercetus pada Oktober 2010, selepas Rooney mempertikaikan kekuatan United untuk bersaing di peringkat domestik dan Eropah berikutan kegagalan pihak pengurusan kelab membawa masuk pemain bertaraf bintang terutamanya selepas penghijrahan Cristiano Ronaldo. Bagaimanapun Rooney memadamkan keraguan ramai pihak dengan menyambung kontrak baru dan terus kekal sebagai pemain paling bernilai dalam pasukan. Lupakan semua kontroversi yang menyelubungi penyerang antarabangsa England itu kerana ketika ini Wazza sedang menikamati musim ke-9 nya bersama United. Di awal kemunculannya bersama United selepas berhijrah dari Everton, Rooney menggunakan nombor 8 tetapi kemudiannya mewarisi jersi nombor 10 dari Ruud Van Nistelrooy selepas pemain Belanda itu menyertai Real Madrid. Selama sembilan musim di Old Trafford, Rooney sudahpun menjaringkan 214 gol dari 472 penampilan untuk United dalam semua kejohanan, dan dengan umur yang baru mencecah 27 tahun, peluang Rooney memadam rekod 199 gol dalam saingan liga milik Sir Bobby Charlton cukup cerah. Setakat ini Rooney berada di tangga keempat senarai pejaring gol sepanjang masa United dengan 141 gol dari 272 penampilan (liga). Banyak penghormatan yang ingin diburu Rooney bersama United kerana selain misi mahu memadam rekod jaringan Charlton, Rooney juga memasang impian mengambil alih lilitan ketua pasukan dari Nemanja Vidic satu hari nanti.

Kesimpulannya: Bagi kebanyakkan kelab atau skuad kebangsaan, nombor 10 memang dikhaskan untuk pemain-pemain terbaik atau lagenda mereka, tetapi di Manchester United, nombor 7 adalah ikon. George Best boleh dianggap sebagai pencetus kepada kegemilangan nombor 7 di jersi merah United tetapi dia juga antara pemain hebat yang pernah menyarung jersi nombor 10. Nombor 7 adalah ikonik tetapi nombor 10 juga tetap istimewa bagi penyokong-penyokong United. Dari pemain yang disenaraikan di atas, jelaslah bukan sedikit permain-pemain terbaik United yang pernah menggunakan nombor 10 di belakang jersi mereka, dari era Sir Bobby Charlton hinggalah ke era Wayne Rooney. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

22 Mac 2013

ADAKAH CHICHARITO SESABAR OLE?


Selepas Real Madrid kini muncul pula Juventus cuba memancing penyerang Manchester United, Javier Hernandez. Meskipun sering bermula di bangku simpanan, Hernandez membuktikan dia penyerang yang cukup berbahaya ketika di dalam petak penalti lawan apabila sudah menghasilkan 8 gol dari 15 penampilan liga setakat ini. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu menyebabkan saingan merebut tempat di bahagian serangan semakin sengit dan Hernandez kini sudahpun mula merasa kesannya. Musim lalu, Hernandez menjaringkan 10 gol dari 28 penampilan, kurang tiga gol dari pencapaian terbaiknya pada musim 2010/11 di mana dia menjaringkan 13 gol dari 27 penampilan (liga) meskipun sering bermula dari bangku simpanan. Dengan saingan liga musim ini yang cuma berbaki 9 perlawanan lagi, peluang Hernandez melepasi angka 20 (penampilan) dilihat semakin sukar. Perlu diakui bahawa peluang Hernandez bermain musim ini agak terbatas, tidak seperti dua musim sebelumnya selepas kehadiran Van Persie. Pada usia 24 tahun, ramai yang tertanya-tanya sampai bila Hernandez akan terus bersabar dengan hanya memainkan peranannya dari bangku simpanan? Atau sampai satu tahap nanti dia akan mula mencari pasukan lain bagi mendapatkan peluang lebih besar bermain dalam kesebelasan utama. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa meninggalkan kelab besar seperti Manchester United hanya semata-mata mahu memburu peluang bermain dalam kesebelasan utama bukanlah tindakan yang wajar, bagaimanapun bagi kes Hernandez kita perlu menilai dari sudut ini. Robin Van Persie berusia 29 tahun dan dia mungkin akan hanya menggantung but dalam tempoh lima tahun lagi manakala Wayne Rooney pula baru berusia 27 tahun dan sekarang sedang memainkan peranan barunya selaku penggerak di belakang penyerang utama dengan cukup berkesan. Sementara itu Danny Welbeck pula beradaptasi dengan baik dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Sir Alex musim ini di mana dia dilihat cukup selesa bergerak dari sebelah kanan dalam barisan 3 pemain di bahagian hadapan. Pada usia yang baru mencecah 22 tahun dan prestasinya pula sedang meningkat naik, Welbeck pastinya tidak akan meninggalkan Old Trafford dalam waktu terdekat. Jadi bagaimana peluang Hernandez untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama atau setidak-tidaknya diberikan peluang tampil dengan lebih kerap? Memang tidak diragui bahawa ketika ini Hernandez gembira berada di Old Trafford apatah lagi bermain untuk kelab seperti Manchester United memang menjadi impian buat anak muda sepertinya.

Apakah semangat Hernandez sekuat Ole Gunnar Solakjaer yang setia bersama kelab selama 11 tahun biarpun sekadar bertindak selaku supersub hingga diiktiraf lagenda oleh penyokong-penyokong United? Jawapannya ada pada diri Hernandez sendiri. Jika dia mahu terus berada di Old Trafford, Hernandez boleh menjadikan Solskjaer sebagai contoh terbaik, kekal bersama kelab untuk tempoh yang lama dengan memainkan peranan selaku `pembunuh’ dari bangku simpanan dan kemudiannya diangkat sebagai lagenda selepas bersara. Kita perlu akui bahawa bakat yang dimiliki Hernandez membolehkan dia menjadi bintang utama dan disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk mana-mana kelab, jadi jika Hernandez mula berfikir ke arah itu peluang melihatnya kekal menyarung jersi United untuk tempoh yang lebih lama mungkin agak tipis. Masalah paling besar untuk mengekalkan Hernandez ialah usianya. Pada usia 24 tahun, Hernandez masih boleh berkembang menjadi pemain yang lebih bagus, tetapi dia memerlukan lebih 30 perlawanan semusim untuk mengasah ketajamannya selaku penyerang dan paling penting bagi mendapatkan pengalaman. Tanpa pengalaman mana mungkin seseorang pemain itu boleh membentuk dirinya untuk menjadi pemain kelas dunia satu hari nanti dan Hernandez tidak terkecuali. Juventus adalah juara bertahan Serie A dan kini berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan mereka selepas selesa berada di tangga teratas liga dengan kelebihan 11 mata. Di pentas Eropah pula, mereka merupakan satu dari lapan pasukan yang akan bersaing di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara. Sementara Manchester United pula tidak perlu diragukan lagi bahawa mereka adalah kelab bolasepak paling popular dan glamor di planet ini selain memiliki tradisi dan sejarah yang cukup gemilang. Ketika ini hanya Real Madrid dan Barcelona sahaja dianggap mampu menyaingi United dari segala segi. Menyertai kelab seperti Manchester United memang menjadi impian setiap pemain dan hanya pemain yang betul-betul nekad sahaja sanggup meninggalkan Old Trafford seperti yang dilakukan Paul Pogba. Pogba kecewa kerana jarang diberikan peluang tampil bersama skuad utama United hingga menyebabkan pemain muda berbakat besar itu angkat kaki meninggalkan Old Trafford. Jika Hernandez tidak sesabar Solskjaer, tidak mustahil dia juga akan mengikut jejak langkah Pogba dengan berpindah ke Turin demi mengejar peluang bermain dan tampil dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

21 Mac 2013

PERTAHANAN YANG MUNGKIN BERADA DALAM RADAR SIR ALEX MUSIM PANAS INI


Impian Sir Alex untuk membawa Manchester United menjulang tiga trofi utama musim ini berkubur selepas tewas 2-3 menerusi aggregat kepada Real Madrid di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Prestasi benteng pertahanan United musim ini dipersoalkan ramai pihak apabila mereka dibolosi sebanyak 31 kali dalam aksi liga, jumlah terbanyak berbanding empat lagi pasukan yang menduduki tangga teratas liga (Man City, Tottenham, Chelsea dan Arsenal). Chelsea mendedahkan kelemahan benteng pertahanan dan mereka hampir saja meranapkan impian United meraih kejuaraan double buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun apabila bangkit dari ketinggalan dua gol pada saingan suku akhir Piala FA untuk mengikat kedudukan dan mengheret United ke perlawanan ulangan di Stamford Bridge. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra perlu diakui semakin perlahan disebabkan faktor usia walaupun mereka masih antara pemain pertahanan terbaik di England. Sir Alex memiliki pemain-pemain muda berkualiti dalam skuadnya seperti Phil Jones, Chris Smalling, Jonny Evans dan Rafael da Silva tetapi beliau masih perlu menandatangani pemain pertahanan baru musim panas ini untuk mengukuhkan lagi bahagian belakang pasukannya. Kini sudah tiba masanya untuk Sir Alex mendapatkan pemain pertahanan baru dan mengulangi keputusan bijaknya ketika menandatangani Jaap Stam (dari PSV Eindhoven) pada 1998, Rio Ferdinand (dari Leeds United) pada 2002 serta Nemanja Vidic (dari Spartak Moscow) dan Patrice Evra (dari AS Monaco) pada 2006. Berdasarkan spekulasi-spekulasi yang ditiupkan media, berikut adalah lima pemain pertahanan yang mungkin menjadi sasaran Sir Alex ketika pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas nanti.

EZEQUIEL GARAY

Pemain pertahanan Benfica ini muncul antara pemain pertahanan tengah terbaik Eropah selepas berpindah dari Real Madrid pada 2011. Benfica hanya berbelanja sekitar 4.75 juta Pound ketika membawa keluar Garay dari Santiago Bernabeu 18 bulan lalu tetapi penampilan hebatnya bersama kelab Portugal itu di pentas domestik dan Eropah pasti menjadikan harganya berlipat kali ganda. Sejak Januari lalu, media di England sudah meniupkan spekulasi tentang perpindahan Garay ke Old Trafford sebagai pengganti jangka panjang Rio Ferdinand. Walau bagaimanapun ada pihak kurang yakin dengan kemampuan Garay menangani tekanan beraksi dengan kelab besar seperti United selepas kegagalannya menyerlah bersama Real Madrid. Seperti Ferdinand, Garay juga memiliki kelebihan membaca permainan dengan baik di samping gemar naik hingga ke bahagian tengah padang untuk melancarkan serangan. Naluri menyerangnya dibuktikan ketika masih bersama Racing Santander apabila Garay bejaya menjaringkan sembilan gol dari 31 penampilan.

ELIAQUIM MANGALA

Pertahanan berasal dari Perancis ini baru berusia 22 tahun dan berkembang dengan baik sejak menyertai FC Porto dari Standard Liege musim panas lalu. Menyedari bakat yang dimiliki pemain muda ini, Porto tidak teragak-agak untuk membelanjakan sekitar 6 juta Pound bagi membawanya ke Estadio do Dragao. Harga Mangala di pasaran ketika ini dinilai sekitar 15 juta pound dan jika ada mana-mana kelab yang sanggup mengeluarkan dana sebanyak itu, Porto sudah tentu akan melepaskannya. Mangala juga sebelum ini sudah mengatakan secara terbuka tentang minatnya bermain di Liga Perdana England. Jika Sir Alex berminat mendapatkan khidmat pemain ini, beliau nampaknya terpaksa bersaing dengan Tottenham Hotspurs, Manchester City dan kelab-kelab besar Eropah lain yang turut memburu tandatangan pemain muda berbakat besar ini. Sebagai pemain pertahanan, Mangala memiliki kekuatan, pantas dan cukup agresif ketika menangani penyerang lawan. Corak permainannya dikatakan mirip kepada Nemanja Vidic. Mungkin ramai yang kurang mengenali Mangala, tetapi jika mengambilkira kecenderungan Sir Alex mendapatkan bintang muda, remaja dari Perancis ini adalah pilihan yang tepat.

MATS HUMMELS

Pada usia 21 tahun, Hummels disenaraikan dalam skuad Jerman di pusingan akhir Piala Dunia 2010 dan dua tahun kemudian mengemudi benteng pertahanan Die Maanschaft di Kejohanan Euro 2012. Di peringkat kelab, Hummels membentuk gandingan mantap bersama Neven Subotic hingga menyaksikan Borussia Dortmund mencipta rekod baru Bundesliga pada musim 2010-11 sebagai pasukan yang paling kurang dibolosi. Gaya permainan Hummels sering dibandingkan dengan lagenda Jerman sendiri, Franz Beckenbauer di mana dia gemar memulakan serangan dari bawah, memiliki kekuatan dan kemahiran membaca permainan. Oktober lalu Hummels tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah dari Bundesliga dan United pantas dikaitkan dengan bintang antarabangsa Jerman ini. Sir Alex sudah mempunyai pengalaman berurusniaga dengan Dortmund ketika mendapatkan Shinji Kagawa musim panas lalu dan jika beliau benar-benar mahu membawa Hummels ke Old Trafford, masanya sudah semakin hampir.

JAN VERTONGHEN

Musim panas lalu, Sir Alex Ferguson melepaskan peluang mendapatkan pemain pertahanan antarabangsa Belgium ini dari Ajax Amsterdam. Walaupun pada mulanya United dikaitkan dengan minat mendapatkan khidmat Vertonghen, Tottenham Hotspurs sebaliknya berjaya menyambar pemain serba boleh ini. Penampilan Vertonghen bersama Spurs menarik minat Sir Alex terutamanya selepas dia menjaringkan satu gol ketika United tewas kepada skuad London itu 3-2 di Old Trafford September lalu. Selain peranan utamanya sebagai pertahanan tengah, Vertonghen juga boleh bermain di posisi bek kiri jika diperlukan. Berada di bahagian belakang sebenarnya tidak menghalang Vertonghen untuk naik ke atas ketika pasukan melancarkan serangan. Naluri menyerangnya sudah dibuktikan apabila dia menjaringkan 10 gol dari 37 penampilan pada musim terakhirnya di Belanda dan dianugerahkan Pemain Terbaik Tahunan Eredivisie musim lalu. Jika Tottenham gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, United mungkin boleh mengambil kesempatan ini untuk membawa Vertognhen bergerak ke utara.

MARCEL SCHMELZER

Schmelzer adalah pilihan utama di posisi bek kiri Borussia Dortmund sejak musim 2010-11 di mana dia bermain semua perlawanan musim tersebut. Persembahan mempersonakan Schmelzer bersama Dortmund hingga berjaya membantu kelab itu menang kejuaraan Bundesliga dua musim berturut-turut (2010-11 & 2011-12) menarik perhatian ramai pakar-pakar pertahanan seluruh dunia. Pada usia 25 tahun, Schmelzer sudah melakukan lebih 120 penampilan untuk skuad kendalian Jurgen Klopp dan mengumpul 19 caps untuk skuad kebangsaan Jerman. Memiliki corak permainan pantas, agresif dan kuat, Schmelzer dilihat pengganti sesuai buat Patrice Evra. Pada usia 25 tahun, Schmelzer juga mempunyai banyak masa untuk berkembang menjadi pemain pertahanan kiri terbaik di dunia satu hari nanti. 

Dari lima pertahanan yang disenaraikan di atas, siapakah paling berkemungkinan melangkah ke Old Trafford musim panas ini? Jika musim lalu Sir Alex serius memperkuatkan barisan hadapannya dengan menandatangani Robin Van Persie, musim hadapan sudah pasti benteng pertahanan pula  bakal menjadi fokus utama Sir Alex. Pastinya ketika ini Sir Alex sudah mempunyai senarai pertahanan mana yang bakal ditandatanganinya musim panas nanti...penyokong mungkin mempunyai pilihan lain tetapi keputusan mutlak ada di tangan Sir Alex. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 Mac 2013

BINTANG-BINTANG YANG PERNAH DISINGKIR SIR ALEX


Keputusan Sir Alex Ferguson meletakkan Wayne Rooney di bangku simpanan ketika pertemuan menentang Real Madrid di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara 6 Mac lalu menyebabkan timbulnya spekulasi tentang masa depan penyerang England itu di Old Trafford. Media pantas meniupkan spekulasi bahawa hubungan dingin antara kedua-dua individu itu (Sir Alex dan Rooney) menjadi sebab utama mengapa nama Wazza tidak berada dalam kesebelasan permulaan United. Bagi mengelakkan sebarang spekulasi negatif terus berlarutan, Sir Alex akhirnya mendedahkan bahawa laporan yang diterbitkan media tentang kemungkinan Rooney akan dijual musim panas nanti sebagai mengarut. Sir Alex turut mengatakan keputusannya tidak menurunkan Rooney dalam perlawanan itu atas alasan taktikal semata-mata dan bukannya disebabkan perkara-perkara negatif lain. Walaupun pendedahan telah dibuat Sir Alex bagi meredakan spekulasi tentang masa depan Rooney, masih banyak pihak sebenarnya kurang yakin bintang England itu akan kekal di Old Trafford musim hadapan. Mereka yang masih ragu-ragu tentang masa depan Rooney ada sebab untuk bersikap demikian jika diambilkira apa yang berlaku ke atas David Beckham sepuluh tahun lalu. Sama seperti situasi yang dialami Rooney, Beckham juga tidak diturunkan ketika United berdepan Real Madrid di Old Trafford dalam saingan Liga Juara-Juara pada tahun 2003. Keputusan meletakkan Beckham di bangku simpanan mengundang berbagai-bagai andaian hinggakan Sir Alex terpaksa tampil meredakan keadaan dan menafikan bahawa hubungannya dengan Beckham sedang bergolak. Kesudahannya kita semua tahu bagaimana spekulasi itu berakhir di mana Beckham akhirnya meninggalkan Old Trafford pada musim panas 2003. Sir Alex cukup dikenali sebagai seorang pengendali yang tegas dan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain meskipun mereka bertaraf bintang dan tonggak utama kelab. Walau bagaimanapun tidak semua pemain bintang yang meninggalkan pasukan disebabkan pertelagahan atau tidak sebulu dengan Sir Alex, Cristiano Ronaldo adalah contoh terbaik. Apakah Wazza senasib dengan Becks? Ramai penyokng-penyokong United berharap Rooney terus kekal hingga ke penghujung kariernya bersama United, dan saya tidak terkecuali. Bagaimanapun jika Rooney benar-benar meninggalkan Old Trafford nanti, penyokong-penyokong United usah terkejut kerana Sir Alex sendiri mempunyai track record menyingkirkan bintang-bintang handalannya sebelum ini. Bagi yang mengikuti perkembangan United sejak sekian lama, terutamanya sejak Sir Alex mengambilalih jawatan pengurus dari Ron Atkinson pada 1986, anda pasti sedar bahawa bukan sedikit pemain-pemain bertaraf bintang yang disingkirkan beliau. Apa yang menariknya, tindakan beliau (menyingkirkan pemain bertaraf bintang) ini tidak menjejaskan pasukan, maka dengan sebab itulah apa saja yang dilakukannya sentiasa mendapat sokongan dari pihak pengurusan dan penyokong-penyokong United sendiri. Untuk itu, di sini disenaraikan beberapa pemain bintang yang terpaksa angkat kaki kerana berkonfrontrasi atau dalam bahasa mudahnya `sengaja cari pasal’ dengan bos United itu sepanjang era beliau berkuasa di Old Trafford.

PAUL MCGRATH (1982-1989)

Paul McGrath menyertai Manchester United dari kelab Ireland, St Patrick Athletic FC pada 1982 dan berjaya membentuk gandingan mantap di benteng pertahanan bersama-sama Kevin Moran. Empat tahun selepas Sir Alex mengambilalih jawatan pengurus United dari Ron Atkinson, McGrath yang merupakan tonggak pertahanan United ketika itu dijual kepada Aston Villa. McGrath merupakan pemain pertahanan yang memiliki skill tinggi dan tenang ketika mengemudi benteng pertahanan, jadi tidak hairanlah jika dia muncul antara pemain yang menjadi kesukaan penyokong-penyokong United ketika itu. McGrath adalah antara tonggak yang berjaya membantu United menjulang Piala FA pada 1985 selepas menewaskan Everton 1-0 dan dinamakan pemain terbaik perlawanan akhir. Bagaimanapun rentetan kecederaan dan hubungan buruknya dengan Sir Alex memaksa dia menamatkan kariernya bersama United dan berhijrah ke Villa Park pada 1989. Musim pertamanya di Villa Park, McGrath membantu The Villans menduduki tangga kedua liga (ketika itu Liga Divisyen 1) dan dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada musim pertama Liga Perdana diperkenalkan (1992-93).

PAUL INCE (1989-1995)

Paul Ince menyertai Manchester United dari West Ham dengan nilai 1 juta Pound pada musim panas 1989. Pembelian Ince menimbulkan kontroversi ketika itu selepas gambarnya memakai jersi United diterbitkan akhbar Daily Express walaupun dia sebenarnya masih belum menandatangani sebarang kontrak bersama United. Ince tampil lebih 200 perlawanan untuk United dan berjaya mengukuhkan kedudukannya di bahagian tengah bersama-sama Brian McClair, Roy Keane dan kemudiannya Nicky Butt. Hubungan Ince dan Sir Alex memasuki fasa kritikal di penghujung musim 1994/95 selepas bos United itu menggelarkan Ince dengan gelaran “bottler”. Sir Alex berang dengan penampilan Ince hingga menyebabkan United terlepas kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers. Seminggu kemudian, Ince tidak disenaraikan ketika United berdepan Everton di perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan United tewas 0-1 kepada The Toffees. Sejak itu hubungan antara Ince dan Sir Alex tidak pernah baik dan akhirnya pemain tengah itu dijual kepada Inter Milan dengan nilai 7.5 juta Pound. Sepanjang tempoh enam tahun bersama United, Ince berjaya memenangi 10 medal kejuaraan utama, namun selepas pulang semula ke England, Ince hanya memenangi satu medal kejuaraan bersama Wolverhampton Wanderers (play off Divisyen 1).

JAAP STAM (1998-2001)

“Perbualan singkat di dalam kereta ketika saya mengisi minyak sudah cukup bagi saya meninggalkan kelab besar itu”, itulah kata-kata Jaap Stam ketika ditanya mengapa dia bertindak meninggalkan Manchester United. Menerusi perbualan singkat itu, Sir Alex berjaya memaksa Stam meninggalkan Old Trafford. Segalanya berpunca dari penerbitan autobiografi bertajuk `Head To Head’ yang ditulis Stam hingga menimbulkan kemarahan Sir Alex. Dalam autobiografinya itu antaranya Stam menyebut bahawa penghijrahannya ke Old Trafford tidak mendapat keizinan dari pihak pengurusan PSV Eindhoven selain mendedahkan bahawa Sir Alex mengarahkan agar pemain-pemainya sengaja menjatuhkan badan ketika perlawanan. Stam menghabiskan tempoh tiga musim dengan begitu cemerlang di Old Trafford apabila berjaya membantu United memenangi tiga kejuaraan liga, satu Piala FA, satu Liga Juara-Juara dan satu Piala Antarabenua. Bagaimanapun disebabkan tuduhan liarnya itu, Stam akhirnya terpaksa dijual dan kelab Itali, Lazio pantas mengeluarkan dana sebanyak 16.4 juta Pound untuk membawa pemain pertahanan itu beraksi di Serie A. Sir Alex mengatakan bahawa kecederaan yang dialami Stam menjadi sebab utama mengapa beliau bertindak menjual pemain pertahanan itu sebelum mengakui itu adalah antara kesilapan terbesar (menjual Stam) pernah dilakukannya.

DWIGHT YORKE (1998-2002)

Gandingan Dwight Yorke bersama Andy Cole berjaya membantu United meraih berbagai kejuaraan dalam tempoh hanya empat tahunnya di Old Trafford. Yorke cukup cemerlang ketika membolosi gawang lawan namun tidak mempunyai formula untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan Sir Alex. Memiliki isteri seorang selebiriti dengan kehidupan penuh glamor, gaya hidup play boy Yorke menjejaskan persembahannya di atas padang. Beberapa insiden yang dicetuskan pemain itu di bilik persalinan sepanjang musim 2001/02 menandakan karier penyerang dari Trinidad & Tobago di Old Trafford menuju fasa akhir. Yorke mengakui dia kembali menjadi penagih alkohol manakala peranannya selaku penggempur utama United yang pernah menyaksikan dia dan Cole dijulang sebagai gandingan paling menggerunkan pernah disaksikan dalam sejarah bolasepak England hingga berjaya membantu The Red Devils menjulang kejuaraan treble pada 1999 kian pudar. Yorke akhirnya menyertai Blackburn Rovers pada Julai 2002.

DAVID BECKHAM (1993-2003)

Ketika United kecundang 0-2 kepada Arsenal dalam saingan Piala FA di gelanggang sendiri pada Februari 2003, ramai pihak menjangkakan pemain-pemain United akan berdepan `hairdryer treatment’ dari Sir Alex. Jangkaan mereka tepat kerana selepas itu foto-foto David Beckham dengan kening bertampal menghiasi dada-dada akhbar di seluruh England. Sebelum insiden itu, Sir Alex mengakui beliau rimas dengan gaya hidup bak selebriti Beckham selepas pemain itu mengahwini bintang pop popular, Posh Spice (Victoria Beckham). Beckham juga diberitakan pernah dihalau Sir Alex dari sesi latihan kerana tiba lewat dan kemuncaknya ialah insiden layangan but di bilik persalinan selepas United tewas kepada Arsenal. Biarpun beberapa kali menafikannya, Sir Alex akhirnya mengakui bahawa beliaulah yang menyebabkan kening Beckham tercedera. “Itu insiden yang aneh. Jika saya mencubanya sekali lagi 100 kali atau sejuta kali sekalipun ia tidak mungkin menemui sasaran”, kata Sir Alex tentang insiden itu. Beckham akhirnya dijual kepada Real Madrid penghujung musim 2002/03 dengan nilai 25 juta Pound.

RUUD VAN NISTELROOY (2001-2006)

Ruud Van Nistelrooy diakui antara penyerang terbaik pernah beraksi di Old Trafford. Gol-gol yang dihasilkannya berjaya membantu United menjulang kejuaraan liga musim 2002/03, Piala FA (2003/04), Perisai Komuniti (2003) dan Piala Liga (2005/06). Sepanjang lima musim bersama United, Nistelrooy menjaringkan 150 gol dari 219 penampilan hingga diiktiraf sebagai mesin gol buat The Red Devils. Biarpun tindakan Sir Alex menandatangani Nistelrooy dari PSV Eindhoven dipertikaikan ramai pihak berikutan rekod kecederaan pemain itu yang agak buruk, Nistelrooy tidak mengambil masa yang panjang untuk menutup mulut pengkritik-pengkritiknya apabila menjaringkan gol demi gol buat United sejak tiba di Old Trafford pada musim panas 2001. Insiden pertelingkahannya dengan Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan musim 2005/06 dan kritikan-kritikan yang dilemparkannya terhadap Sir Alex menjadi penyebab utama Nistelrooy dijual kepada Real Madrid. Di Sepanyol, Nistelrooy berjaya membantu Los Blancos menjuarai La Liga sebanyak dua kali sebelum menyertai Hamburg dan kemudiannya kembali semula ke Sepanyol (menyertai Malaga). Nistelrooy mengumumkan persaraan dari arena bolasepak tahun lalu.

ROY KEANE (1993-2005)

Ramai pihak melihat sifat-sifat Sir Alex ada dalam diri Roy Keane ketika dia beraksi di padang. Keane yang ditandatangani Sir Alex dari Notthingham Forest pada 1993 menjadi simbol kekuatan United di bahagian tengah dari era 90an hingga awal 2000. Selama sedekad, Keane menguasai bahagian tengah United, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar, berjaya mengatasi masalah kecederaan dan menyakinkan orang di sekelilingnya tentang apa yang diperlukan untuk menjadi pemain Manchester United. Sepertimana aksinya di atas padang yang sentiasa mencetuskan kontroversi, begitu jugalah Keane ketika di luar padang. Keane pernah menggegarkan kem United pada 2002 apabila mempersoalkan komitmen dan karakter rakan-rakan sepasukannya selepas kelab menamatkan musim 2001/02 tanpa sebarang gelaran. Pada bulan Ogos 2002, Keane didenda 150,000 Pound dan digantung tiga perlawanan kerana menyiku pemain Sunderland, Jason McAteer. Pendedahan Keane bahawa dia sengaja mencederakan Alf Inge Haaland ketika pertemuan derby Manchester pada 2001 hingga menyebabkan pemain Norway itu menamatkan kariernya akibat kecederaan lutut yang serius menyebabkan Keane digantung lima perlawanan oleh FA England. Selepas menjalani pembedahan pinggul, Keane lebih berhati-hati dalam permainan dan cenderung mengelak konfrontasi dengan pemain lain. Ramai pihak menanggap penampilan baru Keane menyebabkan pengaruhnya di atas padang semakin berkurangan dan menganggu gaya permainannya. Hubungan Keane dengan Sir Alex goyah selepas penerbitan autobiografinya dan kritikan yang dilemparkannya terhadap pihak pengurusan ketika kempen pra musim United di Portugal. 18 November 2005, Keane akhirnya meninggalkan Old Trafford selepas 12 tahun menyarung jersi United dengan menyertai kelab Liga Perdana Scotland, Glasgow Geltic.

CARLOS TEVEZ (2007-2009)

Carlos Tevez pernah menjadi pemain pujaan peminat di Old Trafford. Bagaimanapun situasi itu berlaku empat tahun lalu, tetapi kini Tevez adalah musuh nombor satu penyokong-penyokong United. Di penghujung musim 2008/09 hubungan Tevez – Sir Alex mula meruncing selepas pemain Argentina itu mendakwa pengendali United itu tidak serius mengekalkannya di Old Trafford. Hubungan antara kedua-dua pihak mula panas apabila Sir Alex pula mengambil giliran untuk menafikan dakwaan yang dibuat Tevez. Pengendali United itu sebaliknya mendedahkan bahawa pihak pengurusan United memang serius mahu mengekalkan khidmat bekas penyerang West Ham itu tetapi sebaliknya Tevez telah menolak kontrak baru yang ditawarkan. Apapun alasan yang diberikan kedua-dua belah pihak, seteru setempat United, Manchester City bijak mengambil kesempatan dari kemelut yang melanda dua individu ini hingga berjaya menandatangani Tevez pada Julai 2009. Kemuncak kebencian penyokong-penyokong United terhadap Tevez berlaku musim lalu apabila semasa dalam satu perarakan meraikan kejayaan City menjulang trofi Liga Perdana buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun, pemain Argentina itu mencetuskan provokasi melampau apabila menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’. Penyokong-penyokong United sudah pasti tidak sabar-sabar menanti `kepulangan semula’ Tevez ke Old Trafford 9 April nanti apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu untuk aksi saingan liga. Selepas provokasi yang dilakukannya ke atas Sir Alex, pasti ada `sambutan hangat’ yang bakal diberikan penyokong-penyokong United buat Carlitos.

KESIMPULANNYA, besar manapun bintang anda di Old Trafford, anda jangan cuba-cuba cari pasal atau menimbulkan kemarahan individu bernama Sir Alexander Chapman Ferguson. Jika tidak, anda bakal ditunjukkan pintu keluar oleh beliau sepertimana yang berlaku ke atas McGrath, Ince, Stam, Yorke, Beckham, Nistelrooy, Keane dan Tevez. Apakah selepas ini giliran Rooney? Saya harap tidak. Glory Glory Manchester United!!! – A.J