04 Ogos 2015

UNITED PERLUKAN `BOSS' DI BARISAN BELAKANG

"Terima kasih PSG" kerana anda telah memberikan pengajaran berguna buat barisan Louis Van Gaal pada perlawanan terakhir pra musim tempohari. Selepas dibuai dengan kemenangan menyakinkan pada aksi sebelumnya ketika berdepan Barcelona yang juga merupakan juara Eropah, kita akhirnya terpaksa akur bahawa banyak lagi kerja yang perlu dilakukan Van Gaal sebelum skuadnya berdepan cabaran sebenar pada aksi saingan liga Sabtu ini.

Saya tidak khuatir dengan pemergian Angel Di Maria dan siapa yang bakal menggantikan tempatnya, tetapi saya cukup khuatir sekiranya tiada mana-mana pemain pertahanan tengah baharu di bawa masuk kerana itulah posisi yang perlu dberikan perhatian oleh Van Gaal untuk diperkuatkan.

Barisan hadapan PSG berjaya mendedahkan kepincangan benteng pertahanan United ketika Van Gaal bereksperimen dengan menggandingkan Phil Jones dan Daley Blind sebagai bek tengah. Saya akui Jones pemain serba boleh, mampu diletakkan sebagai bek kanan dan pemain tengah bertahan manakala posisi sebagai bek tengah juga bukanlah terlalu asing buat beliau, begitu juga dengan Blind.

Jones ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada 2011 sebagai prospek jangka panjang kepada Gary Neville dan seperti yang kita tahu beliau bukanlah bek tengah tulen. Posisi azalinya ialah bek kanan kerana disitulah  Jones boleh menggunakan kekuatan dan kepantasannya baik ketika melakukan serangan mahupun ketika bertahan.

Lihat di mana kedudukan Jones ketika Blaisse Matuidi menghasilkan gol pertama lawan dan kegagalannya menutup ruang hingga membolehkan Zlatan Ibrahimovic menyusup dari belakang untuk gol kedua. Kedua-dua gol yang dihasilkan PSG adalah menerusi gerakan-gerakan yang mudah, sekaligus mendedahkan betapa perlunya Van Gaal menyuntik perubahan segera di bahagian belakang skuadnya.

Memang benar keputusan perlawanan pra musim bukanlah gambaran sebenar di mana kedudukan United penghujung musim nanti, tetapi perlawanan pra musim juga sepatutnya dijadikan pentas terbaik untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kepincangan dalam pasukan sebelum bermula saingan kompetitif yang panjang nanti.

Saya yakin ramai daripada kita melihat United ketika ini berdepan masalah di bahagian tengah benteng pertahanan mereka dan jalan keluar kepada masalah tersebut ialah mendapatkan seorang bek tengah baharu, bukannya meletakkan Jones atau Blind di posisi tersebut.

Sepertimana Jones, Blind juga saya akui pemain serba boleh kerana kemampuannya beraksi sebagai bek kiri, pemain tengah bertahan dan bek tengah. Blind sepatutnya bukanlah pilihan pertama atau kedua tetapi lebih kepada alternatif terakhir di posisi bek tengah sekiranya Van Gaal berdepan krisis kecederaan di posisi tersebut.

Kesimpulannya, peranan paling ideal buat Blind ialah sebagai bek kiri ataupun pemain tengah bertahan sepertimana yang sering dimainkan beliau musim lalu. Apa yang sangat diperlukan United sekarang ialah seorang koordinator di benteng pertahanan, tugas yang dulunya dipikul Rio Ferdinand ataupun Nemanja Vidic.

Selepas kedua-dua lagenda ini meninggalkan kelab, kita kehilangan sosok pemimpin di benteng pertahanan dan pemain seperti Rio atau Vidic lah yang perlu dicari Van Gaal. Musim lalu saya mengharapkan agar Jonny Evans boleh menjadi inspirasi di bahagian belakang tetapi nampaknya tahap beliau masih terlalu jauh berbanding Rio dan Vidic.

Kesilapan mudah yang dilakukan Evans ketika aksi menentang MK Dons dalam saingan Piala Liga serta insiden membabitkan beliau dengan Papiss Cisse hingga dihukum gantung enam perlawanan antara penyebab mengapa saya mengatakan bahawa beliau tidak mampu memikul tanggungjawab sebagai `bos’ di benteng pertahanan.

Dengan kembalinya United ke pentas Liga Juara-Juara (jika melepasi pusingan play off), sudah tentu ada beban tambahan yang perlu dihadapi kelab berbanding saingan musim lalu. Bagi berdepan jadual padat, Van Gaal perlu bijak melakukan penggiliran pemain dan sudah tentu barisan belakang tidak terkecuali.

Musim lalu Van Gaal mengetengahkan bakat muda di barisan belakang menerusi penampilan Tyler Blackett dan Paddy McNair. Secara keseluruhannya, saya berpendapat Blackett dan McNair lulus ujian sulung mereka di pentas domestik tetapi pesoalannya sekarang adakah mereka sudah bersedia memikul cabaran lebih besar di pentas Eropah pula? Saya rasa tidak.

Di pentas lebih besar seperti Liga Juara-Juara, United memerlukan seorang pemain pertahanan yang ada reputasi serta lebih berpengalaman. Jika Van Gaal meletakkan misi untuk mara sejauh mungkin pada saingan Liga Juara-Juara nanti, beliau tiada pilihan lain selain memperkasakan lagi benteng pertahanan skuadnya.

Meletakkan Daley Blind, Marcos Rojo atau Phil Jones selaku bek tengah bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Mereka adalah opsyen sekiranya kelab berdepan krisis kecederaan pemain pertahanan tengah sepertimana Sir Alex Ferguson pernah meletakkan Michael Carrick dan Patrice Evra di posisi tersebut ketika beliau kehilangan khidmat Rio, Vidic, Evans dan Smalling secara serentak.

Walaupun sudah membawa masuk lima muka baharu setakat ini, saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian terakhir yang bakal dilakukan Van Gaal sebelum pintu perpindahan pemain musim panas ditutup. Jika itu berlaku, saya berharap biarlah salah seorang dari mereka merupakan pemain pertahanan tengah yang mampu bertindak sebagai koordinator di bahagian belakang.

Ketika saingan liga akan berlangsung hanya beberapa hari lagi, saya mula berteka-teki siapakah pemain yang bakal mengisi posisi bek tengah United jika formasi 4-3-3 menjadi pilihan Van Gaal nanti. Aksi pra musim di Amerika Syarikat mungkin boleh memberikan kepada kita sedikit gambaran tentang siapa yang bakal diletakkan di posisi bek tengah saat berdepan Tottenham Hotspurs nanti.

Pada empat aksi pra musim United di Amerika Syarikat, Blind serta Jones bukan sahaja digandingkan bersama sebagai bek tengah, malah kedua-dua pemain ini turut diletakkan sebagai starter ketika berdepan Club America, San Jose Earthquake, Barcelona dan PSG.

Melihat kepada perkembangan terkini, saya yakin tiada bek tengah baharu bakal dibawa masuk dalam tempoh terdekat, jadi saya berharap anda sudah boleh membayangkan dua pemain yang bakal mengisi posisi di bahagian pertahanan tengah United pada aksi pertama liga menentang Spurs nanti.

Jika Van Gaal memutuskan tidak menandatangani mana-mana bek tengah baharu selepas Sergio Ramos terlepas dari jangkauan manakala Nicolas Otamendi pula tampak akan terus kekal di Stadium Mestalla, adakah gandingan Blind dan Jones mampu memikul tanggungjawab selaku bek tengah United?

Meskipun saya sedikit kurang yakin, tetapi dalam masa yang sama adalah tidak adil untuk penilaian dilakukan kepada gandingan Blind dan Jones kerana saingan kompetitif masih belum bermula. PSG berjaya mendedahkan kekurangan di benteng pertahanan tetapi ujian sebenar akan hanya bermula Sabtu ini.

Menarik untuk kita saksikan bagaimanakah nanti benteng pertahanan United menangani ancaman yang bakal diberikan Spurs terutamanya menerusi barisan hadapan mereka yang diterajui Harry Kane. Bukan sekadar tiga mata yang menjadi keutamaan, tetapi saya juga ingin melihat adakah barisan belakang lulus ujian sulung mereka ini dengan cemerlang.

Sama ada Van Gaal akan terus menggunakan gandingan Blind dan Jones atau beliau sudah memikirkan kombinasi lain, Spurs menerusi Harry Kane bakal menjadi ujian sulung terbaik untuk menilai kemampuan sebenar barisan pertahanan United dan semoga mereka mampu mengharungi ujian pertama ini dengan cemerlang.


Van Gaal saat ini bukan sahaja perlukan idea bagaimana mahu meningkatkan kemampuan di benteng pertahanan, tetapi beliau juga sebenarnya perlukan seorang koordinator sebagai pemimpin di barisan belakang skuadnya. Seorang pemimpin seperti Rio atau Vidic amat diperlukan dan itulah jenis pemain yang perlu Van Gaal cari. Jika kelemahan ini berjaya diatasi, barulah perbahasan tentang prospek memenangi trofi kejuaraan akan lebih menarik dan menyakinkan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

2 ulasan:

  1. terbaik..harap terus update dri masa ke semasa

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih tuan...

      Padam